Alam SekitarBanjirNegeri

Projek Lebuhraya Pan Borneo penyumbang banjir di Sabah

BANJIR yang berlaku di beberapa kawasan di Sabah ada kaitan dengan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang berjalan.

Itu yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin. Bagaimanapun, beliau berkata, ada banyak lagi faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada bencana alam itu yang dilihat, berpunca dari sistem perparitan yang gagal berfungsi dengan baik.

“Saya tidak menafikan faktor Projek Lebuhraya Pan Borneo juga penyumbang kepada masalah banjir tetapi terdapat banyak faktor lain yang turut menyumbang kearah parit kita tersumbat,” katanya.

Beliau berkata, mungkin juga faktor pembinaan jalan tetapi yang kedua adalah kesedaran kerana masyarakat kita ni nampak sahaja parit, dia buang sampah. Semua parit kita penuh dengan botol-botol dan sampah sarap.

“Faktor penyumbang ketiga ialah pembangunan di Kota Kinabalu semakin meningkat. Pembangunan masyarakat juga meningkat tetapi utiliti di bawah, tidak dirancang dengan baik.

“Apabila hujan turun tiga ke empat jam, berlakulah banjir,” katanya.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Bung Moktar juga berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Khas pada lusa, 24 September ini untuk mengenal pasti punca berlaku banjir dan sekali gus menyelesaikan masalah bencana alam itu.

Katanya lagi, apabila berlaku banjir, risiko yang diterima oleh mangsa atau penduduk ialah rumah dinaiki air.

“Rumah yang sebelum ini tidak pernah dimasuki air pun akan kena. Air tidak dapat disalurkan, elektrik tiada, kereta banyak yang musnah malahan berlaku kehilangan nyawa.

“Oleh sebab itulah pada 24 haribulan ini, saya akan mengadakan satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Khas.

“Saya mahu tahu apakah sebenarnya faktor yang menjadi punca banjir berlaku. Jadi kita atasi secara total. Kalau hujan pun, mungkin setahun tidak akan berlaku banjir,” ujar beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button