PRK

PRK Sungai Bakap: Kempen calon PH liputi 90 peratus pengundi

NIBONG TEBAL – Berbaki dua hari lagi sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini, kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin telah meliputi 90 peratus pengundi di kawasan itu.

Joohari yang lebih mesra disapa Cikgu Joo berkata, beliau yakin mampu menghabiskan baki 10 peratus itu sebelum hari pengundian menerusi pendekatan kempen secara bersemuka di samping akan menggandakan lagi kempen menerusi TikTok yang berjaya membawa capaian yang lebih menyeluruh kepada kumpulan sasaran.

“Kempen sekarang ini (fokus) rumah ke rumah santuni pengundi bersama petugas (jentera) kita telah pun capai sekitar 85 hingga 90 peratus. Yang lain menerusi media sosial itu dah merata (liputan).

“Kita akan terus pastikan bahawa maklumat kita terutama menerusi media sosial itu dapat kepada pengundi sasaran,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Ceramah Perpaduan di Taman Halaman Indah di sini pada Rabu malam.

Bekas guru itu berharap sasaran 80 peratus daripada keseluruhan 39,279 pengundi berdaftar di DUN Sungai Bakap akan keluar mengundi Sabtu ini dapat dicapai bagi memberikan kemenangan selesa kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kalau (pengundi keluar) dapat 80 peratus ia cukup baik. Sebab kita kalau kurang daripada itu, betullah… kita dah boleh tahu siapa yang menang tapi ia boleh mewakili hanya sebahagian kecil daripada gambaran sebenar pengundi.

“Jadi saya harap kalau boleh pengundi turunlah ramai-ramai. Kalau lebih ramai saingan akan jadi lebih sihat dan lebih jelas,” katanya.

Joohari juga berkata, pihaknya melihat kecenderungan pengundi muda Sungai Bakap kini sudah mula menunjukkan tanda positif dan diharapkan beralih sepenuhnya kepada PH.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, Jumaat. – Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button