Pendidikan

PPSMI dasar gagal, Dong Zong desak lantik menteri pendidikan baru

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menggesa kerajaan supaya melantik segera menteri pendidikan baru yang berpandangan jauh dan berketrampilan.

Gesaan itu dibuat berikutan pertubuhan itu tidak bersetuju dengan  pelaksanaan semula dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah terbukti gagal.

Menurut Dong Jiao Zong, pembaharuan pendidikan bagi Malaysia Baru hendaklah selaras dengan arus perkembangan global dan sanggup berdepan dengan cabaran masa akan datang dan bukan meneruskan minda lama yang ketinggalan zaman.

“Sehubungan itu, Dong Jiao Zong menyeru supaya kerajaan Pakatan Harapan bertindak segera untuk melantik seorang menteri pendidikan yang berpandangan jauh dan berketrampilan dalam menerajui pembangunan pendidikan negara sejajar dengan arus perkembangan pendidikan sedunia.

“Sebelum pelantikan menteri pendidikan yang baru, KPM (Kementerian Pendidikan) tidak patut melaksanakan sebarang dasar pendidikan baru secara tergesa-gesa,’ kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dong Jiao Zong turut meminta KPM mengadakan perbincangan terperinci dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan ahli-ahli akademik sebelum membuat sebarang keputusan mengenai dasar pendidikan.

Menurut pertubuhan itu, adalah penting bagi kerajaan untuk mendengar pandangan-pandangan rakyat, khasnya pihak-pihak yang berkepentingan supaya dasar pendidikan yang digubal oleh kerajaan mendapat persetujuan semua pihak.

“Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan Kabinet supaya mengambil kira pandangan rakyat dan pendapat profesional dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan semula PPSMI,” kata Dong Zong.

Ketika ini  Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan selepas Dr. Maszlee Malik memulangkan semula jawatan tersebut pada 2 Januari lalu.

 

Pada 30 Januari lalu Dr. Mahathir dalam mesyuarat khas bersama pentadbiran Kementerian Pendidikan berkata, bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains.

“Dong Jiao Zong bersetuju dengan keperluan dan kepentingan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di kalangan murid-murid.

“Bagaimanapun, pelaksanaan dasar PPSMI dari tahun 2003 hingga 2009 yang berakhir dengan kegagalan jelas membuktikan bahawa dasar PPSMI bukan sahaja tidak berkesan untuk meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap bahasa Inggeris, sains dan matematik malah mengakibatkan kemerosotan pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran tersebut,” kata pertubuhan itu.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button