Ekonomi

Pos Malaysia lantik Natalia Navin sebagai Ketua Pegawai Insan Kumpulan

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional mengumumkan pelantikan Natalia Ahmed Shukri Navin sebagai Ketua Pegawai Insan Kumpulan baharu berkuatkuasa pada 2 Januari 2025.

Natalia akan melaporkan diri kepada Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Charles Brewer berkata, “Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan Natalia ke dalam keluarga Pos Malaysia sebagai anggota Pasukan Pengurusan Kanan kami.

“Beliau merupakan seorang pemimpin HR yang cemerlang dengan rekod prestasi yang terbukti dalam membina pasukan berprestasi tinggi dan memacu perubahan organisasi yang berimpak besar.

“Pengalaman luas dan kepakaran mendalam beliau dalam bidang sumber manusia, yang diperoleh di syarikat tempatan dan multinasional, akan memainkan peranan penting dalam memajukan strategi Insan kami dan membawa ia ke tahap yang lebih tinggi.”

Mengulas mengenai pelantikannya, Natalia berkata, “Saya amat berbangga dapat menyertai sebuah institusi terkemuka di Malaysia dan syarikat logistik seperti Pos Malaysia. Saya sangat teruja untuk menyumbang kepada perjalanan transformasi syarikat ini.

“Budaya Pos Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan tenaga kerja serta komitmennya terhadap  perkembangan dan kejayaan pekerja sangat memberi inspirasi kepada saya.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan bagi memupuk dan memperkukuhkan lagi budaya kerja di sini, sambil melaksanakan strategi inovatif yang akan terus memperkasakan pekerja kami untuk mencapai potensi penuh mereka dan memberi impak yang berkekalan.”

Dalam peranan barunya, Natalia akan memberi fokus kepada pengukuhan strategi Insan Pos Malaysia, dengan penekanan terhadap transformasi budaya, pengurusan dan pembangunan bakat, penglibatan pekerja, serta keselamatan.

Sebelum menyertai Pos Malaysia, Natalia berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia di Maxis dari tahun 2019 hingga 2024.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang undang-undang, memulakan kerjayanya sebagai Peguam Bela & Peguam Cara di Zaid Ibrahim & Co dalam bidang perhubungan industri dan undang-undang pekerjaan, sebelum berkhidmat dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian.

Natalia kemudian memegang beberapa peranan kepimpinan dalam bidang sumber manusia di organisasi terkemuka di pelbagai sektor, di mana beliau berjaya memacu inisiatif sumber manusia dan usaha transformasi
di rantau Asia Pasifik.

Natalia memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Staffordshire. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button