Nasional

Populasi gajah di Johor antara 120 hingga 160 ekor

KEMENTERIAN  Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius insiden kematian empat ekor gajah di Jalan Kahang Timur-Felda Ulu Dengar, Kluang, Johor pada 1 Jun 2024.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dana satu kenyataan berkata, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia juga sedang
menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di sekitar kawasan tersebut.

nres
Nik Nazmi Nik Ahmad

“Gajah merupakan salah satu spesies hidupan liar ikonik negara dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Berdasarkan kepada data semasa, anggaran populasi gajah di Johor ialah di antara 120 hingga 160 ekor.

“Laporan awal mengenal pasti bangkai seekor gajah betina dan tiga ekor gajah jantan yang terlibat adalah daripada kumpulan (Identification–ID) Bandar Tenggara di Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Kluang dan Kluang Tambahan, Hutan Simpan Labir, Hutan Simpan Sembrong dan Taman Negara Endau Rompin. Habitat utama tersebut dikelilingi oleh kawasan pertanian, perladangan dan penempatan penduduk.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa habitat dan kawasan keliaran gajah adalah penting untuk menampung keperluan populasi gajah kerana kehilangan habitat akibat perubahan guna tanah untuk aktiviti-aktiviti pertanian, perladangan, penempatan, perbandaran serta pembangunan infrastruktur mengakibatkan konflik manusia dan
gajah.

“Konflik manusia dan gajah boleh mengakibatkan kemusnahan tanaman pertanian, kerosakan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.

“Berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN, sebanyak 646 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan di Johor bagi tempoh 2020 hingga Mei 2024 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 292 aduan (45%) melibatkan daerah Kluang.

“NRES sentiasa proaktif dalam memelihara dan memulihara habitat hidupan liar termasuk gajah melalui inisiatif-inisiatif berikut:
(i) membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 (National Elephant Conservation Action Plan – NECAP 2.0) sebagai garis panduan dan rujukan oleh pemegang taruh dalam pengurusan gajah di
Semenanjung Malaysia;

(ii) menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang bagi menyelaras tindakan pengurusan konflik gajah di seluruh Semenanjung Malaysia. PKGK turut berfungsi sebagai pusat menyelamat
anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh kumpulannya, merawat gajah-gajah yang tercedera selain menjadi tarikan aktiviti ekopelancongan berasaskan gajah;

(iii) menyediakan Pelan Menyelamat Hidupan Liar bagi mengurangkan impak pembangunan ke atas hidupan liar terutamanya gajah bagi projek pembangunan yang melibatkan pembukaan habitat gajah berskala besar.
Agensi pelaksana diminta menjalankan kajian untuk digunakan sebagai input kepada penyediaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar;

(iv) mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), Hutan Tadahan Air dan Kawasan Terlindung Sepenuhnya serta pewartaan kawasan Cadangan HSK khususnya yang terletak dalam kawasan Central Forest Spine (CFS) dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS);

(v) menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation – EFT) kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2019 bagi menyokong pelaksanaan program-program untuk melindungi, memelihara dan memulihara kawasan hutan dan kawasan perlindungan. Sejak insentif ini dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM550 juta bagi pelaksanaan EFT. EFT telah ditingkatkan ke RM150 juta setahun pada 2023 berbanding RM70 setahun pada tahun sebelumnya dan ditingkatkan lagi ke RM200 juta pada tahun ini;

(vi) menyediakan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun 2024. Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk kampung dan komuniti setempat yang mengalami kerugian atau kerosakan harta benda
akibat konflik manusia da n hidupan liar;

(vii) mengukuhkan rondaan dan penguatkuasaan melalui pelantikan Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (Biodiversity Protection and Patrolling
Programme – BP3) untuk membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar. RM50 juta telah diperuntukkan untuk program ini pada tahun 2023 dengan bilangan Renjer Komuniti seramai 1,500 orang manakala untuk tahun ini, bilangan Renjer Komuniti telah ditingkatkan kepada 2,000 orang dengan peruntukan sebanyak RM60 juta; dan

(viii) meningkatkan pengurusan habitat hidupan liar melalui Skim Akreditasi seperti program Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS).

“NRES melalui Jabatan PERHILITAN sentiasa meneruskan usaha-usaha untuk menangani isu konflik manusia dan hidupan liar. Namun usaha ini memerlukan kerjasama dan penglibatan pihak Kerajaan Negeri dan para pengusaha ladang.

“Dalam hubungan ini, saya ingin menggesa para pengusaha ladang supaya lebih prihatin kepada ekosistem sekitar ladang serta melaksanakan amalan pengurusan pertanian yang baik (good agricultural practices).

“Saya juga menyeru semua pihak supaya dapat menyalurkan maklumat kepada Jabatan PERHILITAN jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kes kematian empat ekor gajah tersebut dengan menghubungi talian PERHILITAN di Hotline 1-800-88-5151,” jelas Nik Nazmi. – SM 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button