Pondan bertudung di Mekah: Mak nyah nasihat jangan riak, anggap satu kejayaan
TINDAKAN seorang mak nyah berkongsi gambar memakai telekung dan berpakaian wanita di masjid tersuci umat Islam Masjidil Haram baru-baru ini menimbulkan kegusaran komuniti tersebut di Malaysia.
Seorang mak nyah yang dikenali sebagai Vivina Abdullah menasihatkan komunitinya agar tidak terlalu riak dan menganggap perlakuan tersebut sebagai satu kejayaan yang perlu dibanggakan.
“Nasihat kepada mak nyah, walaupun anda gembira melihat mak nyah sampai ke kota Madinah, tawaf di Kaabah, buat saie, saya tahu awak gembira, jangan riak sangat.
“Jangan buat kenyataan, ‘hah tengok pondan pun dah sampai dekat sana dah terima, kau orang rakyat Malaysia je yang tak terima, nak hukum dan sebagainya’. Jangan terlalu riak.
“Mak nyah ni riaknya melampau sangat. Pergi ke Mekah pun nak divideokan. Cuba kau pakai telekung tak payah upload gambar dan boleh kau buat umrah tu secara tenang. Nak juga tunjuk, nak juga beritahu kepada orang,” kata Vivian Abdullah dalam satu video yang ketika ini tular di Facebook.
Vivian Abdullah berkata, perbuatan mak nyah itu sedikit sebanyak membuatkan komuniti tersebut tercalar.
Lebih membimbangkan menurut beliau, tindakan mak nyah itu akan menyebabkan komuniti tersebut menghadapi kesukaran di masa akan datang.
“Kita boleh bekerja, kita boleh jana pendapatan, cukuplah. Kita tak perlu melacur. Kita tak perlu jadi pekerja seks. Kita boleh keluar online, bekerja. Apa lagi yang kita mahu?
“Walaupun kerajaan menghalang aktiviti mak nyah tetapi mereka masih belum agresif. Saya bimbang kerana beberapa tindakan ataupun perbuatan sesetengah mak nyah ini nanti akan mengakibatkan kerajaan akan lebih agresif.
“Pada waktu itu mak nyah-mak nyah bolehlah merangkak, menangis, pergi keluar negara tukar kewarganegaraan. Boleh mintak asylum, perlindungan di negara lain nanti,” kata Vivian Abdullah.
Menurut Vivian Abdullah, dia marah dan sedih terhadap perbuatan mak nyah tersebut.
Justeru beliau berharap, komuniti itu merenung kesilapan yang dilakukan oleh mak nyah tersebut hingga menjadi buah mulut warganet di media sosial,
“Saya kalau boleh nak berpihak kepada kaum mak nyah. Kalau mereka betul, betulah. Kalau mereka salah, salah. Saya terhimpit di tengah-tengah. Ditelan mati anak, diluah mati bapuk-bapuk di luar sana.
“Saya tak faham apa yang mereka dapat dengan melakukan benda-benda ini. Mungkin beliau dapat menyelamatkan dirinya, tetapi bagaimana rakan-rakan lain?” kata Vivian Abdullah.
Video yang dikongsi Vivian Abdullah di Facebook beliau sejak pukul 6 petang semalam telah ditonton sebanyak 1.4 juta kali dan mendapat 13 ribu perkongsian -SM