
Nasional
Polis tahan pasangan suami isteri kes tipu isteri pelawak
SEPASANG suami isteri telah ditahan oleh polis untuk membantu siasatan kes penipuan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan isteri kepada seorang pelawak.
Memetik laporan BERNAMA, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata. pasangan berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, Selangor, malam tadi.
“Permohonan reman akan dibuat hari ini di Mahkamah Kajang bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata setakat ini tiga individu termasuk isteri kepada pelawak berkenaan telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun berhubung dakwaan kes penipuan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan suaminya.
Hussein dilapor berkata mangsa berjumpa dengan seorang wanita berusia 28 tahun pada Disember tahun lepas bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan ditawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan di mahkamah.
Mangsa kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank, namun gagal mendapatkan bantuan yang dijanjikan suspek. – SM