Nasional

Polis Perlis lancar kempen banteras jenayah seksual libat pelajar

POLIS Perlis melancarkan Kempen Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Murid bagi membanteras gejala ini yang meningkat pada tahap membimbangkan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ini kerana hasil kajian polis dari tahun 2019 hingga 2023 telah merekodkan berlaku 215 kes jenayah seksual melibatkan murid sekolah Perlis.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 110 kes saja melibatkan kes rogol selain kes liwat, cabul dan juga sumbang mahram.

“Purata umur pula adalah dari 13 hingga 18 tahun iaitu melibatkan murid sekolah menengah,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Murid Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar hari ini.

Kempen ini adalah kerjasama antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pengurusan Sekolah), Hamidi Md Saad dan Pengetua SMK Derma, Haliah Othman.

Muhammad berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan akan memberikan taklimat berkaitan jenayah ini kepada pelajar tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Muhammad melihat sudut pameran sempena pelancaran Kempen Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Murid di SMK Derma, Kangar hari ini.

“Pihak kami juga akan pastikan kempen ini dilaksanakan di semua sekolah dan IPT di Perlis sehingga selesai,” katanya.

Katanya, sekalipun mungkin berlanjutan lima atau enam bulan atau lebih kerana tempoh kempen ini tidak dihadkan.

“Kita mahu kempen ini sampai kepada semua pelajar, pendidik dan juga ibu bapa di negeri ini,” katanya.

Sekaligus katanya, dengan kesedaran awal menerusi kempen ini diharapkan bukan sahaja mengurangkan kes jenayah seksual di Perlis tetapi bebas sepenuhnya dari kes ini.

Sempena kempen ini selain diadakan Ceramah Jenayah Seksual juga diadakan demonstrasi cara menyelamatkan diri jika ada gangguan seksual, T-Baton juga pameran. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button