
Polis Indonesia sahkan kehilangan pempegaruh media sosial adalah palsu demi ‘content’
KEJADIAN kehilangan pempengaruh media sosial Malaysia, Eyka, yang dikatakan hilang selepas memasuki hutan di Bandung, Indonesia, disahkan sebagai rekaan semata-mata dan tidak benar.
Ketua Polis Sektor Panyileukan, Kompol Kurnia, mengesahkan bahawa kandungan yang dimuat naik oleh Ammar Mohd Nzahan dan Aras Abdullah di TikTok hanyalah gimik untuk menarik perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan.
“Siasatan mendapati mereka melakukan siaran langsung di Bukit Embah Garut, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung, pada Ahad lalu dengan tajuk sensasi Pempengaruh Malaysia (Eyka) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal.
“Kandungan ini dibuat semata-mata untuk menarik pengikut dan meningkatkan tontonan, tanpa menyedari bahawa tindakan mereka melanggar undang-undang Indonesia berkaitan penyebaran berita palsu” katanya.
Tambah Kurnia, meskipun kandungan tersebut telah mendapat kelulusan daripada pengurus wilayah setempat, ia tetap tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang berwajib.
Selepas siasatan dilakukan, Ammar dan Aras mengaku bahawa video berkenaan hanyalah rekaan demi meraih populariti. Mereka juga telah membuat permohonan maaf secara bertulis dan dalam bentuk video kepada pihak polis serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.