SEORANG lelaki yang disyaki mencuri jam tangan jenama Rolex dari sebuah kedai barangan berjenama di SS16, Subang Jaya, kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut daripada seorang wanita tempatan sekitar jam 10.40 pagi semalam.
“Wanita terbabit, yang merupakan kakitangan kedai, melaporkan bahawa seorang individu menyamar sebagai pelanggan telah mencuri seutas jam tangan berjenama Rolex Datejust 36 Oyster-Steel and Yellow Gold. Kejadian berlaku ketika dia bersama rakannya sedang membuka kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, suspek melarikan diri dengan memberikan alasan mahu mengambil majikannya di tingkat bawah selepas melakukan jenayah tersebut.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah membuat temu janji melalui mesej sebelum kejadian, dan menunggu di hadapan kedai sebelum ia dibuka. Dia juga bertanyakan beberapa soalan mengenai barangan yang dijual sebagai helah,” jelasnya.
Anggaran kerugian dalam insiden itu adalah sebanyak RM64,000. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.