
PN umum calon PRK DUN Ayer Kuning, 8 April
KUALA LUMPUR 5 April – Perikatan Nasional (PN) akan memperkenalkan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada Selasa ini, 8 April.
Pengisytiharan calon itu akan diadakan di Dataran Awam Tapah Road di Tapah pada pukul 9 malam dan dijangka dihadiri pemimpin kanan PN dari PAS, Bersatu dan Gerakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini. Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Januari 2025 yang dikemas kini hingga 22 Februari lalu.
Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 31,897 pemilih terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
PRK DUN Ayer Kuning adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram (Johor), PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan DUN Mahkota (Johor).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU-15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).