Berita

PMX Tetap Teruskan Majlis Pecah Tanah Masjid Madani Walaupun Isu Kuil Masih Diperdebatkan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India akan diteruskan seperti yang dijadualkan, meskipun isu berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman masih menjadi perhatian umum. Menurut beliau, acara tersebut yang dirancang berlangsung pada Khamis ini tidak akan ditangguhkan.

“Saya tetap akan meletakkan batu asas pada 27 Mac ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Polis ke-218 di PULAPOL hari ini. Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) mempertikaikan langkah Perdana Menteri yang didakwa tergesa-gesa merasmikan projek pembinaan masjid tersebut, sedangkan isu tapak kuil masih dalam proses perbincangan antara pihak pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek, menyatakan bahawa rundingan masih berlangsung dan keputusan menetapkan 27 Mac sebagai tarikh pecah tanah adalah tidak wajar. Beliau turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyatakan kuil tersebut dibina di atas tanah persendirian tanpa kelulusan sah, kerana menurutnya, pandangan tersebut menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap latar belakang serta perkembangan sebenar isu tersebut.

“Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada tindakan tersebut benar-benar mencerminkan prinsip reformasi yang diperjuangkan dan sejauh mana ia mengambil kira kepentingan masyarakat berbilang agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button