Nasional

PM beri tempoh sebulan untuk FELDA kemuka pelan hala tuju baharu

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi masa sebulan untuk pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengemukakan pelan dan hala tuju baharu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, FELDA tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan peruntukan Persekutuan sekitar RM1 bilion setahun, dan terus kekal dengan bentuk dan kaedah hala tuju sekarang.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa Kerajaan akan menggerakkan seluruh kekuatan untuk memastikan FELDA terus ampuh bagi menjamin masa depan yang lebih baik untuk golongan peneroka, serta ekonomi Malaysia secara keseluruhan.“Kita (FELDA) sudah capai (prestasi kewangan yang baik), tetapi tak boleh hidup dalam ruang selesa. Dalam unjuran sekarang, harga lebih baik itu, tapi keadaaan geopolitik belum menentu harus ingat kita supaya lebih berwaspada untuk jangka kemungkinan keadaan yang lebih mencabar.

“Saya beri tempoh satu bulan untk pengurusan kemukakan, pastikan ada (penglibatan) Tan Sri Wahid, pakar-pakar, pastikan seluruh kekuatan jentera baik kerajaan, untuk pastikan kita puas hati dengan pendekatan baru hala tuju baru, supaya dalam masa singkat, kita beri keyakinan kepada ratusan ribu peneroka, kita sekarang dah sampai tahap lonjakan itu amat perlu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri anjuran Felda di Menara Felda, di sini pada Rabu.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Bursa Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar; pimpinan kanan Felda serta anak syarikat, dan wakil-wakil peneroka.

Laporan Ketua Audit Negara 2023 telah mencadangkan FELDA untuk menetapkan satu hala tuju baharu yang jelas supaya dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan kerajaan Persekutuan.

Perkara itu disyorkan dalam laporan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat bagi menambah baik tunai dan kesetaraan tunai Felda.

Laporan itu turut mencadangkan FELDA untuk meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiarinya bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan tanpa bergantung kepada agensi induk, seterusnya mampu memberi pulangan yang baik kepada Felda.

Menurut laporan itu, penyata kewangan 2022 menunjukkan FELDA mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion, manakala kedudukan tunai dan kesetaraan tunai Felda ialah RM0.808 bilion.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button