Acara

PM arahkan KPKM selesaikan isu benih padi, baja

JERLUN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diarahkan untuk berbincang bersama pihak berkaitan termasuk para pesawah, bagi mencari jalan penyelesaian isu benih padi dan baja di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengabaikan suara golongan itu berhubung dua isu tersebut yang dikatakan memberi kesan kepada hasil pengeluaran padi.

Menurutnya, kaedah dan penyelesaian terbaik perlu dicari bagi membantu golongan pesawah yang telah sekian lama terbeban dengan masalah berkenaan.

“Ada orang yang mencadangkan benih padi yang digunakan di Sekinchan tetapi kajian dijalankan menyatakan, benih itu tidak sesuai untuk tanah di Kedah.

“(Perkara sama berlaku) di Vietnam pun, benih digunakan di selatan negara itu tidak sama dengan benih ditanam di kawasan utara.Jadi saya minta kementerian untuk bincang dan dengar rungutan pesawah ini untuk kenal pasti benih yang sesuai dengan tanah di kawasan mereka,” katanya pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap meluncurkan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, di sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminam Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas berkenaan dengan isu baja pula, Anwar berkata, sistem pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) juga perlu diperbaiki seiring dengan usaha untuk membantu pesawah.

Sementara itu dalam hantaran ke Facebook, Anwar berkata, beliau meluncurkan projek infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda Fasa 1.

“Saya tegaskan kepentingan untuk projek ini disegerakan selain dibuat dengan penuh tersusun sekali gus dapat meningkatkan produktiviti penghasilan beras negara,” katanya.

Peruntukan awal sekitar RM1 bilion daripada keseluruhannya RM5.376 bilion ini juga, jelas beliau, membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menambah baik ekosistem pertanian di jelapang padi negara.

“Kerajaan MADANI akan terus membela nasib pesawah miskin dengan kerjasama BERNAS yang akan membuat pengagihan segera RM15 juta bagi membolehkan golongan ini melakukan persiapan Ramadan dan Syawal.

“Insya-Allah, agenda kesejahteraan pesawah akan terus menjadi keutamaan tanpa mengira jalur politik, selaras dengan prinsip MADANI yang dijulang kini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button