PM Anwar adakan lawatan rasmi ke Filipina
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Filipina dari 1-2 Mac, lawatan sulungnya ke negara Asia Tenggara itu selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), beliau akan bertemu Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr dan dijangka membincangkan pelbagai perkara dua hala seperti kerjasama keselamatan, kerjasama industri halal, dan kerjasama ekonomi digital.
Kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Lawatan itu mencerminkan kepentingan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN.
“Ia akan memberi peluang yang baik kepada kedua-dua pihak untuk memajukan perkongsian demi kemajuan, dipandu oleh kepentingan bersama, peningkatan kerjasama politik dan ekonomi, dan pertukaran rakyat dengan rakyat,” kata kenyataan itu.
Anwar juga akan menyampaikan Syarahan Umum bertajuk “30 Years After Asian Renaissance: Strategic Takeaways for ASEAN” di Universiti Filipina dan mengadakan sesi dengan diaspora Malaysia di Filipina.
Dalam lawatan itu, beliau akan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, dan pegawai dari pihak berkaitan kementerian dan agensi.
Pada 2022, Filipina merupakan rakan dagangan ke-15 terbesar Malaysia di dunia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM41.45 bilion (AS$9.42 bilion), meningkat 20.1 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021. -SM