Nasional

PKPP: Ada penurunan ingkar arahan – Ismail Sabri

JUMLAH individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menunjukkan penurunan apabila 329 individu ditahan semalam berbanding 807 individu pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka (131), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (51).

“Daripada jumlah itu, seramai 311 individu telah dikompaun manakala lima individu pula direman dan 13 dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan yang sama, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 88 pendatang tanpa izin, lima tekong dan merampas 13 kenderaan darat.

Beliau juga berkata, sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, seramai 73,713 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 76 hotel serta 18 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,152 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 63,156 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Berkaitan pemantauan barang keperluan asas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 652 premis perniagaan termasuk 458 peruncit, 161 pemborong dan 33 pengilang.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 895 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya, sebanyak 50 operasi sanitasi meliputi  13 zon merah, enam zon jingga, tujuh zon kuning dan 10 zon hijau melibatkan sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button