Ekonomi

Pertumbuhan pasaran buruh pacu peningkatan keahlian, caruman KWSP

Persekitaran pasaran buruh yang positif ini telah menyumbang kepada peningkatan keahlian baru KWSP, kerana lebih ramai individu memasuki tenaga kerja dan berusaha untuk menjamin masa depan kewangan mereka melalui skim simpanan persaraan.

Pasaran buruh Malaysia menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan peningkatan pekerjaan sebanyak 1.9% tahun-ke-tahun dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.2%. Selain itu, kadar penyertaan tenaga kerja kekal stabil pada 70.5%.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, sepanjang tiga suku tahun pertama 2024, KWSP mencatatkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 364,364, menjadikan jumlah keahlian setakat September 2024 kepada 16.1 juta.

:Jumlah ahli aktif 2 ialah 8.69 juta, mewakili 50.4% daripada 17.24 juta tenaga kerja Malaysia .

“Pendaftaran majikan baharu yang dicatatkan dalam tempoh tersebut ialah 55,717, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 612,889. Jumlah sumbangan yang diterima meningkat daripada RM23.1 bilion pada S3 2023 kepada RM25.2 bilion pada S3 2024,” katanya(Rujuk Carta 1).

Skim i-Saraan KWSP menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam usahanya untuk meningkatkan keselamatan pendapatan persaraan bagi rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal, serta bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sepanjang separuh pertama 2024, i-Saraan mencatatkan jumlah sumbangan sebanyak RM1.61 bilion daripada
330,196 ahli, mencerminkan peningkatan sebanyak 103% daripada RM789.3 juta dan peningkatan 56% daripada 211,361 ahli dalam tempoh yang sama pada 2023.

Dalam 9B 2024, KWSP mencatatkan pertumbuhan 29% dalam bilangan pencarum sukarela kepada 938,695 daripada 730,066 pada 9B 2023. Jumlah caruman sukarela ialah RM10.37 bilion pada 9B 2024, peningkatan sebanyak 72% daripada RM6.03 bilion yang dikumpul dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk mencarum melebihi kadar berkanun 4 adalah 65,695 dalam 9B 2024, berbanding 55,946 dalam 9B 2023.

Ahmad Zulqarnain menyambut baik kelulusan Kerajaan untuk manambah baik program i- Saraan, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024.

Peningkatan ini termasuk menaikkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, sehingga maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup RM5,000 bagi setiap individu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. Ini dapat mengukuhkan jaminan pendapatan persaraan rakyat Malaysia seperti yang ditekankan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Penambahbaikan program i-Saraan adalah selaras dengan matlamat KWSP untuk membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Dengan meningkatkan insentif padanan, KWSP memperkukuh komitmennya untuk memupuk budaya menabung dan memperkasakan rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang bekerja dalam sektor informal dan gig, agar dapat menjamin masa depan kewangan mereka.

“Mandat dan strategi pelaburan KWSP dibangunkan untuk menyokong inisiatif ini, di samping terus menjana pulangan mampan yang memberi manfaat kepada ahli KWSP serta menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara,” tambah Ahmad Zulqarnain. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button