Pertemuan Raja Muda Perlis, Menteri Cularaja erat hubungan umat Islam
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Menteri Cularaja atau Syeikhul Islam Thailand, Syeikh Arun Boonchom Muhammad Jalaluddin Hussin di Masjid Kamalulislam, Khlong Sam Wa, Bangkok.
Beliau yang juga Chularatchamontri atau Chula Rajamontri ialah ketua hal ehwal Islam dan para penganutnya di Negara Thai selaku mufti pemberi nasihat utama mengenai bidang agama kepada kerajaan terutamanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan negara tersebut. Ia mempunyai sejarah yang panjang sejak zaman Ayutthaya hingga kini.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Imam dan Ketua Majlis Agama Islam Bangkok, Syeikh Samai Charoenchang.
Pertemuan ini adalah sebahagian daripada program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di Bangkok dan Ranong, Thailand dari 6 hingga 9 Januari 2025.
Pertemuan ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan baik antara negeri Perlis dan Thailand, tetapi juga untuk mempererat hubungan umat Islam di Thailand. Sebahagian daripada masyarakat Thailand juga mempunyai hubungan sejarah yang berasal dari negeri Perlis dan Kedah yang menjadikan lagi hubungan antara dua negara jiran ini lebih akrab.
Lawatan kerja ini juga bertepatan dengan falsafah Ummatan Wahidah perkongsian dan perbincangan di dalam pelbagai bidang iaitu kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam.
Kebanyakkan penduduk di sekitar masjid tersebut merupakan keturunan yang berasal dari Perlis dan Kedah sejak 190 tahun lalu yang memperkuatkan lagi silatuharim antara masyarakat setempat dengan deligasi dari Perlis ini.
Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada Masjid Kamalulislam sebanyak RM2000 yang akan digunakan bagi sebarang aktiviti keagamaan dan mengimarahkan masjid tersebut.
Tuanku Dr. Hajah Lailaitul Shahreen Akashah pula turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada 50 orang anak yatim yang terpilih.