Nasional

Pertanian Peluang Jana Pendapatan Pasca-PKPB – Raja Muda Perlis.

 

Rakyat negeri Perlis diseru agar memanfaatkan pertanian yang berpotensi menjana pendapatan lumayan kepada para pengusahanya khususnya ketika pasca penularan pandemik wabak Covid-19.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-20 bagi tahun 2020 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena ‘The World Bicycle Day’ yang disambut hari ini pada setiap tahun pada 3hb Jun yang bermula dan berakhir di perkarangan Dewan Felda Rimba Mas, Padang Besar.

Baginda menyarankan agar seluruh lapisan masyarakat mula cuba menceburkan diri dalam menjalankan aktiviti pertanian walau dalam apa skala sekalipun mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

“Manfaatkanlah tanah atau ruang yang dimiliki untuk menjalankan aktiviti pertanian. Janganlah dibiarkan tanah yang ada tanpa menjana sebarang hasil,” tegas baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa singgah melawat kawasan pertanian “Kok Mak Stable” yang diusahakan oleh Farhan Ventures di Kampung Kok Mak, Padang Besar.

Projek pertanian berkenaan diusahakan oleh seorang usahawan tani muda, Mat Farhan Mohamad, 32, yang memilih pertanian sebagai sumber pendapatan beliau.

“Saya mempunyai cita-cita dan aspirasi untuk menjadikan pertanian sebagai ikhtiar hidup masyarakat apatah lagi ia akan dapat membantu mengukuhkan sumber makanan negara. Kebergantungan kepada produk pertanian import perlu diimbangi dengan pengeluaran hasil pertanian tempatan”, kongsi beliau.

Buat masa ini, Kok Mak Stable melaksanakan aktiviti pertanian seperti tanaman jagung, tembikai, penternakan ikan telapia, ayam kampung, kambing dan madu lebah.

Konsep ‘sifar bazir’ diterapkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan dengan memanfaatkan hasil sisa untuk dijadikan baja kompos organik selain menggunakan sisa hampas tanaman untuk makanan ternakan seperti kambing.

Selain aktiviti tanaman dan perternakan, Kok Mak Stable turut mengalu-alukan pengunjung yang menggemari sukan berkuda yang disediakan.

Pada kesempatan yang sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad yang turut mengiringi baginda turut memuji usaha Farhan yang memanfaatkan tanah dan aset yang dimiliki beliau untuk menjana pendapatan selain dapat mendukung aspirasi kempen ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran di seluruh negeri ini terutamanya dalam aspek penjagaan tandas serta kemudahan awam yang lain. Selain itu, masyarakat juga perlu prihatin atau bersikap lebih cakna dengan keadaan ini dengan saling ingat memperingati dan tegur menegur mereka yang mengabaikan perihal kebersihan demi untuk kepentingan bersama.

Menurut Badlishah lagi, pada asasnya kebersihan itu bermula dari rumah dan tempat kerja masing-masing dan diteruskan lagi dalam kehidupan bermasyarakat. Kita juga harus belajar dan mengambil contoh tatacara dan amalan aspek kebersihan di negara-negara maju dan dipraktikkan di negeri ini. Besarlah harapan kita semua agar negeri ini melalui inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis menjadi peneraju dalam aspek kebersihan hingga mampu menjadi sebagai sebuah negeri contoh yang boleh dibanggakan semua rakyatnya.

Tx.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button