NasionalNegeri

Permohonan Pas Sempadan di UTC Kangar, ICQS Padang Besar ditutup buat sementara

RAKYAT Perlis yang mahu memohon Pas Sempadan untuk ke Thailand dinasihatkan bersabar kerana kaunter untuk urusan ini di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar dan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar ditutup buat sementara waktu.

Notis pemberitahuan penutupan sementara permohonan Pas Sempadan telah dimaklumkan JIM Perlis di UTC Kangar dan ICQS Padang Besar sejak 1 Februari lalu.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah JIM Perlis, Khairul Amin Taib yang menyifatkan ia cuma bersifat sementara dan keadaan dipulihkan secepat mungkin.

“Ia berpunca dari masalah teknikal yang melibatkan sistem di mana lesen cetakan telah tamat tempoh dan sekarang ia dalam tindakan pihak vendor,” katanya kepada Suara Merdeka.

Khairul Amin berkata, jika tidak dianggarkan lebih kurang 100 orang memohon Pas Sempadan di UTC Kangar setiap hari manakala di Padang Besar pula kira-kira 40 orang.

Bagaimanapun katanya, rakyat Perlis masih ada pilihan dengan membuat pasport antarabangsa.

“Boleh juga ke ICQS Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap untuk permohonan Pas Sempadan,” katanya.

Suara Merdeka difahamkan Pejabat JIM Cawangan Kulim serta UTC Alor Setar dan Sungai Petani juga dihentikan sementara permohonan Pas Sempadan sejak 30 Januari lalu dan begitu juga di ICQS Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, Bashariah Yahaya, 58 berkata, dia terpaksa menarik diri saat akhir untuk menyertai rombongan melancong ke Satun, Thailand bersama menantu perempuannya kerana gagal membuat Pas Sempadan.

“Tak sanggup rasanya hendak Satun sampai terpaksa membuat Pasport Antarabangsa sebab kos juga agak tinggi,” katanya.

Beliau juga tidak bercadang untuk mencuba memohon di ICQS Durian Burung, Kedah kerana perlu menempuh perjalanan yang jauh dari Kangar untuk ke sana ditambah pula pastinya berlaku kesesakan kerana hanya itu sahaja yang masih dibuka.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button