Berita

Perlis laksana solat Aidilfitri di kawasan lapang

Solat Aidilfitri dibenarkan di negeri ini dengan jemaah bakal menunaikan solat tersebut di tanah lapang di kawasan masjid di seluruh Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, solat Aidilfitri di tanah lapang yang bermula pada pukul 8 pagi itu bukan sahaja selaras dengan sunnah malah boleh mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 jika dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.

Bagaimanapun Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak bersesuaian seperti hujan lebat, solat berkenaan akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti keluasan maksimum mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bermula pukul 8.30 pagi.

Sehubungan itu baginda dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan untuk berangkat menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama rakyat di dataran istiadat, pekarangan Istana Arau di sini.

“Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke tempat solat, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman serta mengimbas kod QR MySejahtera atau mendaftar pada buku.

“Warganegara dan bukan warganegara lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidilfitri kecuali mereka yang berstatus pesakit bawah siasatan (PUI) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.

“Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP,” titah tuanku dalam satu kenyataan hari ini.

Titah baginda, mereka yang telah merentas negeri ke Perlis, solat Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di rumah atau tempat tinggal masing-masing sahaja tanpa perlu hadir ke masjid.

“Untuk meminimumkan risiko penularan, mereka yang merentas sempadan juga hendaklah menangguhkan dahulu niat untuk mengimarahkan masjid-masjid di negeri Perlis,” titah baginda.

Sementara itu baginda bertitah, aktiviti ziarah kubur pada musim Aidilfitri adalah dibenarkan.

Titah baginda, jamuan Aidilfitri pula dibenarkan dilaksanakan di tempat solat dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus tanpa menggunakan polisterin serta meminimumkan plastik sekali guna untuk dibawa pulang.

“Solat jenazah dan pengurusannya boleh dilaksanakan di masjid-masjid dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Akad nikah pula hendaklah dilaksanakan di rumah-rumah atau premis persendirian sahaja dengan pematuhan SOP, bukan di masjid, surau atau dewan orang ramai,” titah baginda.

Seterusnya, baginda menyeru kepada seluruh rakyat agar sentiasa mendoakan kesejahteraan buat negeri ini dan negara secara keseluruhannya.

“Beta turut mendoakan agar seluruh rakyat dikurniakan kemudahan dalam berhadapan situasi berpanjangan pandemik Covid-19 dan berharap agar segala ujian ini dapat berakhir dengan sebaiknya. Bersamalah kita berusaha untuk kembali kepada fitrah kehidupan dengan membebaskan diri daripada cengkaman Covid-19.

“Di kesempatan ini juga, beta dan seluruh kerabat diraja mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh-Nya jua,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button