Ekonomi

Perlis kaji pembinaan lapangan terbang di Cuping

ARAU 13 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dapat membantu negeri Perlis melaksanakan satu kajian terperinci bagi kebolehlaksanaan sebuah lapangan terbang gunasama oleh Malaysia dan Thailand di sekitar Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) Perlis.

Kajian tersebut adalah sebagaimana yang sudahpun dilaksanakan oleh pihak NCIA sebelum ini seperti Kajian Gerbang Antarabangsa Kuala Perlis – Satun, Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Jeti Kuala Perlis dan juga Kajian Kebolehlaksanaan Koridor Maritim Sanglang.

Demikian dititahkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menerima sembah taklimat oleh delegasi dari NCIA yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Mohamad Haris Kader Sultan. Turut bersama-sama beliau ialah Ketua Wilayah Perlis dan Kedah NCIA, Suhaila Mohd Nazer dan Ketua Pejabat NCIA Perlis, Muhammad Faridzul Lin di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Tuanku Pemangku Raja dipersembah maklumkan mengenai status projek-projek strategik dan berimpak tinggi di Perlis termasuklah yang terdapat di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Pembangunan Pelancongan Wang Kelian, serta Inisiatif Zon Ekonomi AgriBio NGER (NAEZ) Chuping – Bukit Kayu Hitam,

Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan agar semua pihak termasuklah Kerajaan, swasta serta pihak berkepentingan memastikan segala jenis projek khususnya berskala besar terutamanya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan pelancongan siap sepenuhnya dan beroperasi berdasarkan garis masa yang telah ditetapkan.

Turut hadir sama dalam sesi ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Naib Canselor Univesiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN), Zuhair Jamaludin.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button