Nasional

Perlesenan platform media sosial lindungi kanak-kanak dari jenayah

LANGKAH kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melesenkan platform media sosial dapat melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak berkata, pelesenan itu adalah sesuatu yang diperlukan memandangkan ketika ini banyak kes yang berlaku melibatkan media sosial termasuk buli siber.

Katanya, melalui cara itu ia sekurang-kurangnya boleh dilihat dalam aspek melindungi kanak kanak daripada jenayah buli, pedofilia dan sebagainya,

“Seperti sebelum ini, ada seorang adik telah meninggal dunia (akibat buli siber). Apabila berlaku (kematian), pihaknya yang sepatutnya mengambil tanggungjawab adalah penyedia platform media sosial.

“Jadi, saya lihat apabila lesen itu dikuatkuasakan, ia meningkatkan tanggungjawab penyedia media sosial ini untuk lebih bertanggungjawab.

“Mereka (pengendali media sosial) dipertanggungjawabkan (jika apa-apa berlaku) sama ada mahu membenarkan pengguna berniaga atau membuat siaran langsung, kerana media sosial merupakan satu platform baharu,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah Kerajaan MADANI yang menguatkuasakan pelesenan itu dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa pedofilia, selain menyekat aktiviti jenayah siber.

Dalam pada itu, beliau berkata, peraturan di media sosial turut terpakai sama seperti peraturan yang terdapat di tempat fizikal.

“Kalau tempat fizikal (di mana-mana), akan ada (penguat kuasaan) contohnya penyelia dan peraturan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

“Jadi di platform media sosial media pun (peraturan) itu juga terpakai,” ujarnya.

SKMM  dalam kenyataan kelmarin memberitahu penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial ByteDance (TikTok) serta Tencent (WeChat) menjadi dua syarikat terawal diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.

SKMM berkata, dua syarikat itu adalah antara empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama yang mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Januari 2025. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button