AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menjayakan latihan asas kepada 788 pegawai dan 2,528 pegawai lain-lain pangkat penguatkuasa Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (ASMAS), Kuantan Pahang sejak ia mula beroperasi pada 2 Mac 2013.
Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Dato’ Haji Ruji bin Haji Ubi berkata sempena Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 Tahun 2022 yang diadakan pada hari ini, seramai 78 orang pelatih terdiri daripada 61 lelaki dan 17 wanita telah berjaya menamatkan latihan selama sembilan bulan di akademi ini.
Daripada jumlah berkenaan, Maritim Malaysia kini telah mengisi perjawatan sebanyak 90.76% daripada jumlah perjawatan yang diluluskan. Beliau turut menjangkakan sebanyak 490 perjawatan yang masih belum diisi akan dipenuhi menjelang tahun 2026.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 Tahun 2022 di Kuantan hari ini.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som serta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman.
Ruji memaklumkan, selain kursus asas kepada pegawai baharu, AMSAS turut menganjurkan kursus lanjutan kepada pegawai dan anggota bagi meningkatkan kompetensi mereka dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan perairan negara.
Beliau turut berkata selain warga Maritim Malaysia, AMSAS turut menyediakan latihan kepada hampir 150 pegawai daripada jabatan-jabatan dari Negara-Negara Asean, Timur Tengah, Afrika dan Mexico.
Melihat kepada kepentingannya, Ruji menegaskan KDN pada tahun lalu telah memperuntukan sebanyak RM1.4juta bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan akademi latihan itu.
Bagi tahun 2023, beliau memaklumkan KDN akan menyalurkan lebih banyak peruntukkan untuk projek-projek utama supaya AMSAS menjadi institusi latihan maritim yang kondusif.
Dato’ Haji Ruji terdahulu ketika penyampaikan ucapan, beliau turut menasihati semua warga Maritim Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada integriti yang tinggi, amanah, jujur dan meletakkan disiplin yang tinggi ketika menjalankan tugas.
Hasrat ini kata beliau seiring dengan dasar Kerajaan Malaysia Madani, iaitu mengamalkan tadbir urus yang baik sekaligus menjadikan Malaysia Negara Bebas Rasuah.
Artikel berkaitan > Rasuah: Dua anggota Zon Maritim Kuala Perlis, seorang orang awam direman