Hiburan
Perjalanan hidup kumpulan Dolla digarap jadi telefilem
Baru setahun melangkah ke bidang seni, kumpulan wanita yang dikenali sebagai Dolla mungkin boleh berbangga dengan pencapaian mereka apabila kisah hidup mereka kini diangkat dalam sebuah telefilem tidak lama lagi.
Mewakili anggota kumpulan Dolla, Sabronzo tidak menyangka apabila Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem.
“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kamisangat terkejut. Bukan apa jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil.
“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu, bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” kata Sabronzo.
Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran.
“Tidak dinafikan bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon , apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla.
“Tapi saya amat mengagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama tetapi mereka boleh melakonkan adengan menangis dengan semula jadi,” katanya.
Menurut Sabronzo lagi,kisah di dalam telefilem Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu.
Bagaimanapun kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla dengan peminat kerana beranggapan tiada apa yang perlu dirahsiakan dari pengikut Dolla.
“Cuma 30 peratus yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.
“Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton. Jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami,” katanya.
Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat pada 22 Mei jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.
Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle.
Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi. -SM