Nasional

Pengisytiharan darurat adalah yang terbaik, rakyat tak perlu bimbang

SEKIRANYA pengisytiharan darurat diumumkan, itu adalah yang terbaik buat keharmonian rakyat dan kestabilan negara.

Perkara itu ditegaskan penganalisis keselamatan, Datuk Dr Ruhanie Ahmad yang berkata, darurat membenarkan demokrasi digantung dan setiap masalah diselesaikan secara terus menerusi bilik gerakan.

“Sekiranya darurat yang diramalkan itu terjadi, rakyat tak perlu risau kerana akan ada satu badan pengelola yang mengurus masalah menerusi kaedah bilik gerakan.

“Menerusi keadaan itu, pentadbir negara akan melihat keadaan secara fokus dan menyeluruh. Orang yang mentadbir juga adalah dalam pelbagai kepakaran untuk menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Menurut Dr Ruhanie, dengan isu Covid-19 dan kecelaruan politik negara yang menjadikan keselamatan terumbang-ambing, tindakan mengisytiharkan darurat adalah yang terbaik.

Jelasnya, cara menguruskan keselamatan secara darurat adalah yang terbaik apatah lagi keadaan demokrasi negara telah disalah guna untuk menimbulkan ketidak stabilan politik.

“Rakyat tidak perlu bimbang dengan sekiranya darurat berlaku kerana negara sudah melalui tiga kali pengalaman itu.

“Pertama ialah pada tahun 1969 (isu perkauman) kedua pada tahun 1992 (masalah ekonomi dunia) dan ketiga ialah 1997-1998 (krisis ekonomi asia),” jelasnya.

Menurut Dr Ruhanie, apa yang berlaku sekarang sebenarnya adalah jauh lebih teruk daripada tiga pengalaman darurat sebelum ini.

Ini kerana, masalah yang dihadapi sekarang terdiri daripada tiga fokus iaitu masalah politik yang membawa kepada ekonomi dan keselamatan serta masalah rakyat melibatkan Covid-19.

“Kalau Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengumumkan darurat, itu adalah langkah pragmatik dan efektif untuk fokus pada penyelesaian masalah,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button