Penerima vaksin ke-49,400 dapat hadiah motosikal
Cucuk vaksin, terima sebuah motosikal. Itu tuah seorang pesawah di Padang Terap, Kedah apabila menerima sebuah motosikal sumbangan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mohd Isham Md. Isa, 44, yang menjadi penerima vaksin Covid-19 ke 49,400 di daerah ini, tidak menyangka dirinya terpilih menerima hadiah berharga itu.
Menurut Mohd. Isham, dia amat terkejut menerima hadiah yang dianggap sangat bernilai itu kerana tidak langsung menjangkakannya.
Begitu pun katanya, dia amat berterima kasih terhadap pemberian tersebut memandangkan motosikal miliknya sekarang yang dibeli secara terpakai sejak lima tahun lalu, sudah pun ‘uzur’.
“Sejak beberapa tahun lalu, memang saya ada mengumpul wang untuk membeli motor baharu tetapi tak sangka pula mendapat rezeki sebegini, hari ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Mahdzir. Motosikal lama itu akan tetap saya gunakan untuk ke sawah manakala yang baharu ini pula, akan saya gunakan untuk pergerakan yang memerlukan perjalanan agak jauh seperti bagi mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan dihadapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) 2 di Alor Setar,” katanya.
Mohd. Isham yang masih bujang ditemui pemberita selepas menerima hadiah motosikal tersebut dari Mahdzir sendiri di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang di sini, semalam.
Sementara itu Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sumbangan tersebut dibuatnya sebagai tanda meraikan kejayaan semua pihak dalam mencapai sasaran pemberian vaksin di daerah Padang Terap.
Katanya, angka 49,400 itu adalah jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas dalam Parlimen ini, yang layak divaksin berdasarkan bancian dilakukan pada 2010.
“Kita menghargai kehadiran rakyat di Padang Terap yang keluar beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri masing-masing serta masyarakat sekeliling.
“Ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang berusaha keras untuk menjayakan program ini termasuk menjalankan program-program pandu lalu serta ‘outreach’ di kawasan kampung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, lebih 2,000 pelajar tingkatan empat dan lima akan menerima suntikan vaksin di daerah itu bermula esok.