Pendidikan Madani asas membina masyarakat harmoni, maju
RANONG (Thailand) 10 Jan. – Dalam dunia yang semakin global ini, pendidikan Madani memberi penekanan kepada keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi, serta pentingnya mendidik generasi yang mampu berfikir secara kritis, bertanggungjawab, dan penuh kasih sayang terhadap sesama umat manusia.
Inilah asas penting dalam membina masyarakat yang adil, harmoni, dan maju.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs ketika berkenan berangkat mengetuai delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi lawatan kerja ke Sekolah Pattanansat Whittaya, Maahad Ihyak Turath Islami di M. 1 T.Muangkuang A .Kape, Ranong, Thailand.
Keberangkatan tiba Baginda dalam program sempena Ziarah Mahabbah MAIPs 2025 itu diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Mudir Madrasah tersebut, Hj Hakim Sofian Awae.
Mengiringi Baginda berdua ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir sama adalah wakil-wakil daripada Majlis Agama Islam dari enam wilayah Andaman, iaitu Satun, Trang, Krabi, Phang Nga, Phuket dan Ranong.
Majlis ini merupakan simbolik kepada usaha memperkukuhkan hubungan persaudaraan dan ukhuwah Islamiyah antara masyarakat Islam di Perlis dan wilayah Andaman Thailand khususnya Wilayah Ranong pada kali ini melalui pengisian dan perbincangan yang menekankan kepentingan kerjasama dan perpaduan dalam memperkukuhkan nilai Ummatan Wahidah.
Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Masyarakat harus saling bekerjasama dan saling mendukung antara satu sama lain dalam pendidikan, tidak kira di mana sahaja kita berada, bagi memastikan ilmu dan nilai-nilai Islam dapat disebar serta diluaskan’.
‘Pendidikan di sekolah-sekolah seperti Pattanansat Wittaya ini adalah salah satu langkah yang amat penting untuk mempersiapkan generasi muda agar lebih berdaya saing, berilmu, dan bertakwa kepada Allah SWT’ terang Baginda.
‘Pendidikan Madani Ummatan Wahidah pula adalah pendidikan yang menekankan perpaduan, kemajuan, dan kemuliaan. Ia tidak hanya berfokus pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga pada pembentukan sahsiah yang mulia, dengan nilai-nilai Islam sejati sebagai terasnya’.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs sebanyak RM5000 kepada Madrasah ini bagi dimanfaatkan dengan sebarang program pendidikan dan aktiviti kokurikulum serta pembelian peralatan atau bahan pembelajaran.