Politik

Pendaftaran PN: Pas bukan sertai, tetapi sebagai penaja

PAS hanya bertindak sebagai penaja penubuhan parti Perikatan Nasional dan tidak menyertainya. Itu kata Setiausaha Agung Pas Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan mengenai pendaftaran PN sebagai sebuah parti.

Bercakap  kepada media dalam sidang media selepas merasmikan Skim Bantuan Pelajar Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu hari ini, Takiyuddin berkata, untuk menubuhkan satu parti perlu ada penaja.

“PN baharu didaftar dan di peringkat penajaan, kita bukan menyertai tetapi untuk tubuhkan satu parti perlu ada penaja dan Pas adalah salah satu daripada penaja, namun ia belum secara rasminya lagi siapa dalam PN.

“Satu-satu pakatan itu boleh didaftarkan atau tidak, tetapi jika untuk tujuan menyertai pilihan raya, ia perlu didaftarkan. Kalau tidak, tak boleh pakai logo macam Pakatan Harapan (PH).

“Masa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH tidak didaftarkan, jadi tak boleh masuk atas nama PH dan sebab itu masuk bawah PKR. Kalau pada PRU15 nanti, kita nak guna PN, maka PN perlu daftar dulu, begitu juga dengan MN,” kata Takiyuddin.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam Muafakat Nasional yang dianggotai oleh Pas dan UMNO, selepas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menyatakan persetujuan untuk menyertai gabungan itu.

“Sebelum ini, Pas menjadi penaja ke arah pendaftaran PN, namun selepas Muhyiddin menyatakan kesudian untuk menyertai MN perkara ini akan dibincangkan secara lebih terperinci,” katanya.

Muhyiddin sudah membalas surat jemputan dan menyatakan kesudian parti itu menyertai Muafakat Nasional (MN).

Sebelum ini tular surat mengajak Bersatu menyertai Muafakat Nasional yang disebarkan dalam media sosial pada Khamis lalu.
Surat tersebut mempunyai tandatangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kandungan surat itu antara lain menyatakan UMNO dan Pas dengan sukacitanya mengalu-alukan penyertaan Bersatu dalam MN.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button