Politik

Pemuda UMNO tolak pindaan Jaminan Kerajaan ke atas TH

CADANGAN mengenai pindaan ke atas Tabung Haji (TH) yang menyentuh sekuriti pendeposit tidak wajar dilaksanakan menurut Pergerakan Pemuda UMNO.

Hal berkenaan dikatakan tidak memenuhi matlamat asal penubuhan lembaga itu untuk memudahkan masyarakat beragama Islam di Malaysia menunaikan ibadah Haji.

Oleh demikian, pindaan yang tidak bersesuaian ke atas TH adalah tidak wajar kerana badan itu tidak seharusnya terus dipandang sebagai institusi komersial.

Justeru, kerajaan perlu mengekalkan jaminan terhadap pendeposit berbanding bank-bank komersial dan institusi kewangan lain yang dilindungi oleh Perbadangan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

“Keistimewaan TH yang mempunyai ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ini memberikan kelebihan kepada TH berbanding bank-bank komersil dan institusi kewangan yang lain.

“Ini kerana rakyat sudah tentu lebih memilih untuk menyimpan dalam TH sehingga dana TH mencecah RM75 bilion.

“Sedangkan jaminan simpanan di bank-bank komersil hanya setakat RM250,000 oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

“Pemuda UMNO menentang keras sebarang usaha untuk menanggalkan keistimewaan yang ada pada institusi unik umat Islam ini dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ke atas wang pendeposit TH.

“Sesungguhnya, TH adalah institusi yang cukup istimewa dan terlalu bernilai buat umat Islam yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi Ummah sejak ditubuhkan pada 1963.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, memaklumkan menerusi Facebooknya semakan ke atas Akta Tabung Haji 1955 (Akta 355) akan dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya dan Kementerian Kewangan (MOF) akan menyemak semula ketetapan ‘Jaminan Kerajaan’ yang termaktub dalam terma akta berkenaan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, usaha tersebut bukan baharu dilakukan, malah sebelum ini ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) juga pernah dicadangkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun cuba diusahakan sekali lagi ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah gabenor baharu sehinggalah hari ini.

“Justeru, Pemuda UMNO menggesa menteri (Zulkifli Mohamad) tampil memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit.

“Bahawa Kerajaan PN hari ini akan terus mempertahankan Jaminan Kerajaan terhadap setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan TH!” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button