Politik

Pemuda Pas minta polis siasat pihak yang sembunyi Titah Adendum

Pemuda Pas Terengganu menggesa pihak polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan perintah Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung status tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Berhanuddin berkata,  tindakan menyembunyikan Titah Adendum mencabar sistem undang-undang dan institusi tertinggi negara

Sehubungn itu mereka telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang semalam, susulan pendedahan mahkamah berkenaan kewujudan arahan tersebut kelmarin.

“Alhamdulillah, hari ini kami hadir ke IPD Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis terhadap isu Adendum yang telah tular baru-baru ini.

“Semalam, Mahkamah Rayuan turut mengesahkan kewujudan arahan daripada Yang di-Pertuan Agong agar hukuman ke atas Dato’ Sri Najib Razak ditukar kepada tahanan di rumah.

“Jadi tujuan kita untuk buat laporan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberitahu kepada semua bahawasanya kita daripada pihak PAS menjunjung tinggi lunas perlembagaan yang ada.

“Iaitulah Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi dalam negara kita dan negara kita ada undang-undang yang tersendiri dan ada hak yang teristimewa yang ada pada baginda tak kiralah siapa jadi Yang di-Pertuan Agong.

“Hak itu tidak boleh disorokkan kerana perbuatan menyembunyikan ataupun tidak melaksanakan arahan daripada Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu jenayah yang berat dalam negara kita.

“Kita bukan mahu mempertikai sama ada Dato’ Sri Najib bersalah atau tidak. Isunya adalah mengapa titah Yang di-Pertuan Agong tidak dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“Arahan daripada Adendum ini telah disahkan oleh pelbagai pihak berautoriti, termasuk Majlis Istana Pahang, Mahkamah Rayuan dan keluarga Datuk Seri Najib sendiri pun telah mengesahkan dan mempersoalkan kenapa masih tidak dilaksanakan arahan daripada Adendum tersebut,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak, termasuk Umno dan parti-parti lain, untuk bersama-sama membuat laporan agar isu ini dapat disiasat dengan telus.

“Kita sebagai warganegara Malaysia yang telah ada rukun Rukun Negara yang telah kita baca sejak kecil lagi sepatutnya bukan sahaja PAS, Umno kena bersama dengan kita depan kena bersama dengan kita.

“Hatta DAP pun kena bersama dengan kita hari ini untuk buat laporan supaya tidak ada lagi perbuatan perbuatan jenayah yang berupa seperti ini yang menyorok keputusan penting dalam Negara,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button