Pemimpin perlu bersikap lebih terbuka – Raja Muda Perlis
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, seseorang pemimpin itu perlu bersikap lebih terbuka supaya dapat menerima sebarang pandangan.
Baginda bertitah, ini kerana tidak semestinya setiap tindakan seseorang itu sentiasa betul kerana sebagai manusia maka perlu bersedia untuk belajar daripada orang lain walau apapun jawatan yang disandang.
Titah Baginda, jika pemimpin itu tidak mahu mendengar idea atau pandangan orang bawahan, maka organisasi itu sukar untuk berkembang dengan peningkatan kreativiti serta idea baharu.
“Seseorang pemimpin yang hebat tidak akan menggunakan pepatah “I’m right, therefore you are wrong”,” titah Baginda.
Baginda bertitah, pada masa yang sama para pekerja akan berasa dihormati apabila idea dan pandangan mereka juga dipertimbangkan pihak pengurusan, seterusnya dapat meningkatkan potensi diri untuk membina struktur organisasi yang mampan.
“Oleh itu, para pekerja juga perlu diberi ruang dan peluang untuk bersama-sama memberi pendapat dan pandangan ke arah kemajuan organisasi masing-masing,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-3 bagi tahun 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Alor Ara, Arau, petang semalam.
Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan mengurniakan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Siti Zaleha Yop, 68 dan Basirah Hussin, 74 di mana keduanya tinggal di Kampung Alor Ara manakala Timah Mat Hassan, 90 pula di Kampung Alor Ara Timur.
Asnaf berkenaan menerima wang tunai RM700 setiap seorang, Kits MAIPs Peduli dan juga beras fidyah.
Sepanjang program kali ini juga Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf di bawah kelolaan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang diusahakan oleh Jurida Hussein dari
Kampung Alor Ara Barat yang berniaga air tebu di Nat atau Pasar Pagi di sekitar negeri ini.
Beliau menerima bantuan RM2,000 dari MAIPs pada tahun lalu untuk membeli peralatan berupa mesin tebu bagi menjalankan perniagaan.
Di akhir program, Baginda berkenan singgah di Restoran Arau Kopi yang merupakan salah satu lokasi sarapan pagi yang polular di negeri ini.
Antara menu istimewa restoran yang telah beroperasi pada 8 Mei 2022 ini termasuklah lempeng kelapa, pulut ikan masin, nasi rendang dan beberapa menu lain.
Persekitaran dan suasana kampung dan juga selaras dengan tema Arau Kopi iaitu Kopi |Makan| Suasana antara faktor menerima kunjungan pelanggan yang tinggi.
Restoran ini mampu memuatkan lebih 200 orang pengunjung dalam satu masa ini untuk memberikan keselesaan kepada para pengunjung terutama semasa musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu.
Pemilik Arau Kopi, Syed Hamzah Syed Bakar ketika mempersembah maklumat kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra berkata, restoran ini akan sentiasa peka dalam usaha bagi memberikan keselesaan dan pengalaman menarik buat para pengunjungnya terutamanya dalam sama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang sedang berjalan rancak pada ketika ini. – SM