PEMILIK bersama Kelab Komedi Crackhouse, Rizal van Geyzal dan Shankar R Santhiram telah memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen operasi mereka.
Dalam permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, pemilik terbabit mahu mahkamah membatalkan keputusan DBKL yang dibuat pada 30 Julai untuk membatalkan lesen mereka serta mengetepikan keputusan yang menyenaraihitamkan mereka daripada mendaftarkan mana-mana perniagaan di Kuala Lumpur.
Pemilik Bersama, Rizal van Geyzal dan Shankar R Santhiram mendakwa keputusan DBKL itu tidak rasional dan menjejaskan kehidupan mereka.
Mereka juga telah memohon pengisytiharan bahawa keputusan itu tidak mengikut perlembagaan, menurut laporan FMT.
Mereka menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias pada masa itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.
Untuk rekod, Kementerian Wilayah Persekutuan telah disusun semula bulan lepas dan kini menjadi jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan plaintif untuk memulakan semakan kehakiman pada 26 Januari ini.
Penyenaraian hitam itu berikutan penggantungan lesen kelab komedi itu oleh DBKL pada Julai lalu berhubung klip video yang tular menunjukkan seorang pelawak berdiri menanggalkan baju kurungnya hingga mendedahkan aurat ketika membuat persembahan.
Wanita itu dan teman lelakinya kemudiannya ditahan dan didakwa manakala Rizal turut ditahan apabila beberapa video lama persembahan komedi kontroversi muncul semula.
Dia didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama. – SM