Pemergian ADUN Slim: PM ucap takziah, Najib anggap kehilangan besar UMNO
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia hari ini.
“Saya mendapat perkhabaran yang Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim River, Perak, baru sahaja meninggal dunia.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” kata Muhyiddin.
Sementara itu bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ahli UMNO dan pemimpin yang disenangi ramai, ikhlas dalam perjuangan dan sentiasa prihatin kepada isu rakyat.
Najib berkata, Allahyarham sentiasa disisi dalam setiap perjuangan politik sama ada ketika susah atau senang.
“Saya ingat lagi Allahyarham juga mempunyai latar belakang media, pernah bertugas sebagai wartawan akhbar Watan dan Setiausaha Akhbar di Sabah, serta Pengerusi FINAS.
“Satu kehilangan besar kepada saya, UMNO dan rakyat negeri Perak. Takziah kepada ahli-ahli keluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman,” ucap Najib.
Dalam pada itu Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada Negeri Perak dan juga rakyat di kawasan DUN Slim.
“Saya juga telah kehilangan seorang sahabat yang telah saya anggap sebagai saudara kandung sendiri.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” kata Azumu.
Mohd Khusairi meninggal dunia di Hospital Bentong,Pahang hari ini akibat serangan jantung.-SM