Pemangku Raja Perlis bertemu Sultan Sokoto
SOKOTO, Nigeria – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat mengadakan pertemuan dengan Sultan Bagi Negeri Sokoto iaitu Alhaji Muhammad Sa’ad Abubakar yang juga merupakan Presiden Jeneral Majlis Tertinggi Negara Nigeria bagi Hal Ehwal Islam dan Jama’atil Nasril Islam (JNI) di Istana Minanata, Sokoto, Nigeria.
Dalam perjumpaan tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra memaklumkan bahawa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berbesar hati untuk memperuntukkan biasiswa penuh (tidak termasuk tiket penerbangan) kepada seramai 30 orang calon mahasiswa yang layak berasal dari negeri Sokoto untuk melanjutkan pelajaran di KUIPs.
Demikian menurut kenyataan MAIPs hari ini.
Antara yang menyambut keberangkatan tiba Baginda dengan sambuta diraja yang dipersembahkan di Lapangan Terbang Sultan Abubakar III Sokoto ialah Penasihat DiRaja Sokoto, Sadaukin Muhammad Mallam Lawal Maidoki.
Sejurus tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat bersama-sama Alhaji Muhammad Sa’ad menunaikan solat jumaat berjemaah di Masjid Sultan Muhammad Bello Sokoto.
Kemudiannya Sultan Sokoto meraikan Tuanku Pemangku Raja dalam satu majlis santapan tengahari di istana Baginda dan disusuli dengan sesi perbincangan interaktif yang turut melibatkan para Ulama dan sarjana Islam di negeri itu dengan topik yang menarik, ‘Pembentukan Khilafah Sokoto Pada Abad Ke-19’. Mufti Perlis Prof Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi pandangan beliau di sesi tersebut.
Selain Datuk Mufti, turut mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, Aiyub Omar serta Kaunselor, Sharmini Devi Gopal.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam ucaptama Baginda di sesi tersebut bertitah, ‘Persaudaraan dalam Islam adalah konsep menyeluruh yang berteraskan akhlak yang baik, hormat menghormati antara satu sama lain serta bersatu atas nilai kebersamaan yang terdiri daripada tiga peringkat utama, yang merangkumi agama, keluarga dan kemanusiaan. Setiap peringkat ini berpaksikan setiap Muslim wajib berpegang teguh antara satu sama lain’.
Baginda menambah, ‘Tali persaudaraani ini dapat diperkukuhkan lagi melalui elemen kemasyarakatan, persahabatan, dan bersatu demi agama kerana Allah. Pada peringkat ini, umat Islam diharapkan agar dama-sama bersatu hati dan bekerjasama ke arah memenuhi matlamat ajaran agama dan nilai-nilai dalam Islam.’
Sebelum terbang balik dari Sokoto ke Abuja, Tuanku Pemangku Raja singgah menziarahi Makam Mujahid Uthman Fodio. Almarhum merupakan seorang tokoh reformis Sokoto yang membanteras amalan yang bercanggah dengan ketulenan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang juga merupakan pendiri Kesultanan Sokoto yang kekal menjadi rujukan umat Islam Nigeria sehingga ke hari ini.
Dalam perkembangan yang lain, anakanda Tuanku Syed Faizuddin Putra yang berada di Abuja dan tidak berangkat ke Sokoto telah mengadakan aktiviti berasingan dengan menyaksikan perlawanan bolasepak melibatkan Pasukan Bawah 16 tahun AS Roma melawan Young Stars di Stadium Nasional Moshood Abiola, Discovery Museum Abuja dan Pusat Seni dan Kraftangan Abuja.