Acara

Pemangku Raja Perlis berkenan sertai kayuhan di Songkhla

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengambil bahagian dalam program kayuhan berbasikal yang dianjurkan sempena Sambutan Maal Hijrah 1446 yang bermula di perkarangan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla Thailand baru-baru ini.

Aktiviti tersebut dianjurkan melalui kerjasama Rural Capital Berhad (RCB), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan juga ahli-ahli TTG Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Konsul 1 merangkap Timbalan Konsul Jeneral, Nik Mohd Faqir Nik Zin dan Konsul (Pentadbiran, Kewangan dan Konsular) Sohaimi Ahmad.

Hadir sama mengiringi Tuanku Pemangku Raja ialah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pegawai Eksekutif RCB, Haji Hiruddin Hashim, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran selaku Ketua Delegasi TTG Kuala Lumpur, Ketua Penyelaras Malaysia bagi Jaringan MAIPs dengan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand, Datuk Zul Aznam Haron dan timbalannya Ashidan Mat Isa.

Dalam ucapan alu-aluan sebelum program bermula, Nik Mohd Faqir dan Sohaimi yang mewakili Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla iaitu Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi
berkongsi taklimat berkaitan operasi pejabat serta perkhidmatan konsular (Bantuan Konsular Kepada Rakyat Malaysia – BKRM) kepada semua yang hadir.

Antara isu-isu konsular utama adalah pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan dengan Majlis Agama Islam di Wilayah Selatan Thailand perlu memastikan prosedur yang telah ditetapkan dipatuhi untuk mengelak isu berbangkit. Dalam hal ini, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sangat menitik berat dan sering memberi peringatan agar semua pasangan rakyat Malaysia yang telah bernikah di Selatan Thailand membuat pengesahan dokumen perkahwinan mereka dengan pihak Konsulat Jeneral dengan kadar segera dan seterusnya dengan Pejabat Agama Islam berhampiran dengan tempat tinggal mereka di Malaysia.

Program kayuhan tersebut juga adalah sebahagian daripada inisiatif bagi sama-sama mempromosikan slogan ‘Perlis – The Undeniable Charm’ sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Kemuncak bagi semua para peserta ialah apabila mendapat pengalaman menaiki ‘Songkhla Lake Car Ferry’ dari jeti Singhanakhon ke Ko Yo.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button