Negeri

Pemangku Raja Perlis akan berangkat ke hari anugerah cemerlang SMK Derma

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar akan menganjurkan Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum sekolah bagi Sesi Akademik 2024/2025 pada pagi jumaat, 5 Julai 2024 yang akan datang nanti.

Acara ini bukan sahaja adalah tradisi dan aktiviti tahunan, malah ia merupakan inspirasi kepada para pelajar.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan alumni bekas pelajar sekolah tersebut dari tahun 1980 hingga 1982 dijadualkan berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Hari anugerah cemerlang ini adalah penghargaan oleh pihak sekolah kepada setiap pelajar yang mencapai keputusan yang cemerlang seterusnya menjadi pemangkin buat setiap pelajar sekolah ini untuk terus berusaha dengan lebih keras lagi bagi mencapai keputusan yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga kokurikulum, kemahiran insaniah dan juga kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemahiran digital.

Sebagai rekod, seramai 50 calon telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berbanding 47 calon bagi SPM 2022.

SMK Derma merupakan salah sebuah sekolah yang telah mengekalkan pencapaian 100% calon layak mendapat sijil di negeri ini bersama-sama dengan SMK Agama Perempuan Kangar, SMK Dato Sheikh Ahmad dan SMK Agama Arau.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Tuanku Syed Faizuddin Putra baru-baru ini berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Repoh, Kangar.

Kayuhan amal itu turut disertai oleh Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan Perlis yang merupakan sebahagian dari usaha MAIPs bagi mengesan dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Tuanku Pemangku Raja Perlis yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan agihan zakat dari MAIPs kepada Embun Ali, 86 tahun dari Kampung Sempering, Zulkifli Hussin, 60 tahun dari Kampung Tanjong dan Lebar Yeop, 74 tahun dari Kampung Kechor.

Setiap penerima yang terpilih pada edisi kali ini menerima bantuan sumbangan berupa wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli beserta dua kampit beras fidyah bagi mengurangkan beban golongan yang kurang bernasib baik ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button