Pemain, pegawai Melaka United terima tunggakan gaji tiga bulan
MELAKA 15 Jan. – Kemelut tunggakan gaji skuad Liga Super Melaka United berakhir apabila pegawai dan pemain menerima habuan masing-masing yang tertunggak tiga bulan sejak Oktober lalu.
Jurulatih Zainal Abidin Hassan mewakili skuad musim lalu itu mengucapkan terima kasih kepada syarikat KenTeam Sdn. Bhd. khususnya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Justin Lim yang menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, masalah tunggakan gaji yang diselesaikan itu cukup melegakan buat pegawai dan pemain kerana ia berjaya diselesaikan dengan segera.
“Saya menaruh kepercayaan terhadap skuad Melaka United buat mengharungi cabaran musim ini biarpun kita dilanda kelewatan gaji sejak Oktober lalu.
“Kami faham Kami dengan keadaan yang dihadapi kelab ketika ini sehingga timbul isu tunggakan gaji tetapi segalanya dapat diselesaikan dan kami menerima keseluruhan gaji yang tertunggak,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Zainal yang akan terus diberi kepercayaan menjadi jurulatih skuad Sang Kancil musim ini yakin apabila masalah itu dapat diselesaikan, perancangan pasukan itu menghadapi Liga Super musim 2022 tidak akan terencat.
Isu tunggakan gaji pemain Melaka United menjadi perhatian dalam kalangan peminat bola sepak khususnya di negeri ini yang mengejutkan ramai pihak.
Situasi itu menyebabkan skuad Sang Kancil diberi tempoh sehingga 31 Januari ini oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi menyelesaikan tunggakan gaji tersebut atau berdepan dengan sekatan perpindahan pemain secara automatik 1 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, selepas tempoh tersebut skuad itu mempunyai
tempoh 14 hari menyelesaikan masalah tersebut dan jika gagal mereka akan berhadapan dengan pemotongan
mata bagi Liga Malaysia musim ini.
Selain Melaka, Sarawak juga berdepan masalah yang sama apabila masih berhutang dengan 39 pemain dan pegawai sejak tahun lalu. Bagaimanapun, hanya 15 daripada mereka telah menerima bayaran penuh.