Pelatih IKBN pemilik rangkaian kopi premium Richiamo Coffee
TUAH tidah datang bergolek. Nanum usaha yang gigih pasti akan membuahkan kejayaan yang manis.
Begitu juga dengan pemilik dan pemegang saham terbesar Richiamo Coffee Sdn. Bhd, Muhd Zamry Abu Samah, 50 yang mempunyai 33 cawangan kedai kopi premium di seluruh Malaysia.
Beliau baru-baru ini diumumkan sebagai pemegang saham tunggal terbesar dengan penguasaan kira-kira 80 peratus di dalam Richiamo Coffee yang diasaskannya kira-kira lima tahun lalu pada 2015.
Muhd. Zamry merupakan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah dalam bidang motosikal dan memulakan kerjayanya sebagai mekanik di Hong Leong Yamaha dan kemudian menjadi eksekutif pekhidmatan di Modenas dan eksekutif jualan di Naza World.
Dia kemudian kembali bekerja di Modenas dan berpindah ke KTM Motor sebelum mengambil keputusan berhenti makan gaji. Muhd. Zamry memulakan perniagaan sendiri dengan membuka kedai menjual motor, Kamalia Motor World yang mempunyai persaiangan hebat.
“Bila saya sudah berhenti itu ada terdetik, ishh dulu makan gajikan, hujan ke ribut ke hujung bulan bila cucuk di ATM dapat duit. Sekarang orang cakap kais pagi makan pagilah. Selepas buat semua, tolak sewa, bayar gaji pekerja barulah terima gaji sendiri. Yang mana ianya memang tidak mencukupi.
“Contoh jual motor ini, ada yang bagi helmet percuma, jaket percuma hadiah beli motor, akhir sekali keuntungan RM200 sahaja. Kalau RM200 nak bayar sewa kedai RM10,000 berapa buah motor kita kena jual?
“Di situlah terdetik saya kata ini tidak cukup, saya kena buat sesuatu yang lain, yang tak berapa banyak sangat persaingan dan mendapat hasil yang cepat,” kata Muhd. Zamry yang mempunyai dua isteri dan empat orang anak.
Dia kemudiannya membuka Richiamo Coffee bersama rakan kongsi dengan cawangan pertama di Universiti Utara Malaysia. Richiamo merupakan bahasa Itali bermaksud memikat.
“Kenapa Richiamo Coffee cepat berkembang dalam tempoh lima tahun? Sebab kita sasarkan pelanggan akar umbi iaitu mahasiswa.
“Sekarang kita dah keluar di pasaran sebenar. Kita ada hampir di setiap negeri. Mahasiswa ini menjadi jurucakap Richiamo Coffee. Dia kata ooo zaman dia belajar di UUM dan ada, di UIA ada. Kita ada di UTM Skudai, kita ada di UiTM Puncak Alam. Kita ada di Universiti Malaysia Sarawak. Hampir semua kampus induk universiti kita ada,” katanya bangga.
Namun yang menjadikan jenama cafe kopi premium anak tempatan ini benar-benar diterima adalah kerana kualiti kopi yang dihidangkan setanding dengan jenana antarabangsa namun harganya lebih rendah dan mampu untuk dinikmati semua termasuk golongan pelajar.
Menurut Muhd. Zamry, kopi yang dihidangkan dari jenis Arabica yang diimport dari Brazil dan Indonesia selain menu dari makanan barat hingga hidangan tempatan.
“Kita ada 200 lebih menu. Kita bermula dengan minuman kopi, minuman sejuk dan kisar, kek dan pastry sahaja kerana kita nak konsep macam yang ada dalam pasaran.
“Tapi menjadi orang Malaysia dia nak makan nasi. Dari situ kita sudah ada pasta, spaghetti, set nasi macam asam pedas, masak daging salai, kari ayam, kambing.” katanya.
Muhd. Zamry berbangga kerana berjaya mengembangkan legasi arwah ayahnya yang juga membuka kedai kopi kampung di Jelebu, negeri Sembilan.
Dia kini berhasrat untuk mengembangkan Richiamo Coffee di negara ASEAN dan juga di Madinah, Arab Saudi.
“Kita sudah ada perbincangan untuk berkembang ke negara luar tapi dibantutkan dengan Covid-19. Macam negara Singapura, Bangladesh, kita sudah berbincang. Yang terbaharu ini ada daripada Uzbekistan, Myanmar, potensi itu memang sudah ada.
“Tapi kalau ada rezeki, nak jadikan kenyataan kita hendak buka di Madinah, saya ada satu patner dari Arab Saudi,” kata Muhd. Zamry tersenyum dan bertekad untuk menjadikan Richiamo Coffee jenama antarabangsa.
Richiamo Coffee ketika ini mempunyai kira-kira 200 orang pekerja dan tidak seorang pun dibuang kerja walaupun perniagaan agak terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan kira-kira setahun lalu.-SM