Pelan Masyarakat Perlis Bertamadun lahir jatidiri tersendiri masyarakat
‘Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kini dalam proses mengkaji dan merangka satu ‘Pelan Masyarakat Perlis Bertamadun’. Pelan ini bertujuan untuk melahirkan satu jati diri yang unik dan tersendiri bagi masyarakat Perlis.
Semoga segala usaha ini akan membawa kepada pengukuhan tamadun Perlis yang lebih gemilang satu hari nanti.
Pada masa yang sama lebih ramai pihak dialukan untuk membuat kajian mendalam serta menghasilkan penulisan seperti buku dan artikel mengenai Warisan yang wujud di Perlis.
Langkah ini amat penting supaya kita dapat menyediakan bahan rujukan yang berfakta dan berkualiti tinggi untuk generasi akan datang.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan ‘Festival Warisan Nusantara Tahun 2024’ di Dewan 2020 Kangar.
Program tersebut dianjurkan oleh Geliong Ventures sdn Bhd bersama-sama rakan kerjasama strategiknya termasuklah UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau, Persatuan SportRec UITM, FRIM, MAIPs, UniMAP, PTSS dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu MAIPs telah melaksanakan beberapa inisiatif yang signifikan dalam mengangkat nilai warisan adat di Perlis’.
Antara usaha tersebut termasuklah memperkenalkan tengkolok rasmi yang dikenali sebagai ‘Putra Julang Darjat’, yang menjadi simbol keagungan adat negeri. Jawatankuasa juga telah mengesyorkan pemakaian ‘Kebaya Perlis’ dalam majlis-majlis rasmi, sebagai satu langkah memperkasakan identiti tradisional negeri ini.
Ia juga turut mengambil langkah proaktif dengan menggubal Tatacara Nyanyian Lagu Aamiin-Aamiin, yang merupakan sebahagian daripada identiti negeri ini.
Garis panduan yang telah diperkenankan oleh DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ini telah diangkat ke dalam Enakmen Lagu Negeri Perlis, sekali gus memperkukuh kedudukan lagu tersebut sebagai simbol rasmi negeri.
Baginda juga percaya pihak penganjur akan terus memberikan tumpuan dan usaha bagi memposisikan produk kebudayaan, kesenian dan pelancongan Warisan Nusantara ke persada antarabangsa, dengan kaedah pemasaran dan promosi yang terkini.