RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan amalan agama di negeri Perlis bermula di masjid sehingga kepada perkahwinan, zakat, wakaf dan segalanya adalah atas pendekatan untuk memudahkan bukan menyulitkan selagi tidak bertentangan dengan syariat dan kemaslahatan awam.
Baginda bertitah, penyampaian Islam kepada mereka yang bukan Muslim di negeri ini pula hendaklah dengan cara yang memudahkan mereka faham dan memudahkan mereka mengamalkan agama ini jika mereka menerimanya.
Titah Baginda, Islam di Perlis hendaklah mengutamakan pendekatan yang harmoni untuk semua Muslim dan bukan Muslim.
“Perkara ini adalah selari dengan ‘Titah 7 Amanat Tuanku Raja Perlis’, seperti yang telah dizahirkan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 20 April 2017,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada 140 asnaf terpilih pada program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ubudiah, Sematang Serdang, Simpang Empat.
Majlis agihan tersebut melibatkan seramai 70 penerima dari Kariah Sematang Serdang dan 70 lagi penerima dari Kariah Chemumar.
Masing-masing mendapat bantuan wang MAIPs sebanyak RM700 setiap seorang.
Para penerima terlebih dahulu menjalani saringan kesihatan secara percuma yang dilaksanakan oleh para pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.
Selain itu diadakan juga aktiviti ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh MAIPs serta ceramah keselamatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK). – SM
BACA NGO Islam Perlis sokong tindakan MAIPs fail kes 3 kanak-kanak mualaf