Pelakon wanita Wafariena cedera buat aksi ‘stunt’
PELAKON wanita, Wafariena Roslan yang membintangi drama berjudul 7 Hari Mencintaimu dikatakan cedera sehingga dimasukkan ke Hospital Rawang, Selangor, ekoran melakukan aksi ‘stunt’ demi menjayakan telemovie berjudul Mata Tak Berhijab.
Mstar melaporkan, Wafariena terkilan kerana pengarah Mata Tak Berhijab meminta dia melakukan aksi bahaya itu ketika penggambaran dijalankan di Lenggong, Perak.
“Sepatutnya babak tersebut dilakukan oleh pelakon lagak ngeri tetapi pengarah minta saya sendiri melakukannya.
“Selepas melakukan aksi tersebut badan saya mula rasa sakit-sakit. Saya rasa lemah dan tidak boleh bergerak,” katanya.
Beliau berkata, sekitar pukul 6 pagi beliau terpaksa pergi ke klinik berhampiran dan doktor memberinya suntikan ubat tahan sakit.
“Tetapi disebabkan keadaan saya teruk, doktor meminta saya melakukan pemeriksaan lanjut di hospital,”katanya.
Wafariena tanpa berselindung meluahkan rasa terkilan beliau apabila pengarah drama berkenaan bersikap seolah-olah lepas tangan.
Dakwa aktres itu lagi, pengarah berkenaan juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab ke atas dirinya yang mengalami kesakitan ekoran aksi stunt yang dilakukannya.
“Jangan kata ambil berat, bertanya khabar tentang keadaan saya pun tidak. Saya memang rasa terkilan,” katanya sambil menambah, untuk bergerak, dia terpaksa dipapah.
Pihak hospital, dakwa aktres itu, memaklumkan tisu bahagian punggungnya cedera, perutnya juga cedera dan ada pendarahan. – SM