
Pelakon Lagenda “Enam Jahanam”, Noor Azizah Kembali ke Rahmatullah
DUNIA seni tanah air hari ini dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran, Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh sekitar jam 3 pagi.
Allahyarham yang berusia 79 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia. Perkara ini disahkan oleh anaknya, Khairena kepada wartawan hiburan veteran, Muzlina Abu Bakar yang juga rakan karib keluarga.
Noor Azizah dikenang ramai menerusi lakonannya dalam filem klasik “Enam Jahanam” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1969. Kejelitaannya yang menawan menjadi tarikan utama sewaktu beliau mula berjinak dalam dunia perfileman, malah penglibatan awalnya bermula secara tidak sengaja ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.
Ketika itu, kehadiran beliau telah menarik perhatian seniman terkenal, Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud, yang kemudian menawarkan beliau peranan sebagai pelakon tambahan dalam filem “Dayang Senandong” (1965). Itulah permulaan kerjaya seni beliau yang terus berkembang dalam dan luar negara.
Selain daripada filem-filem tempatan, Allahyarham turut melebarkan sayap ke pentas antarabangsa apabila membintangi filem Indonesia “Malin Kundang” (1971) bersama pelakon Rano Karno serta memegang watak Doktor Susan Lim dalam drama bersiri Australia “Bailey Bird” pada tahun 1977.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat industri hiburan tanah air, khususnya generasi pelakon lama yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Zuhur hari ini di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara, Ipoh.
Seluruh warga Suara Merdeka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.