Pelakon China selamat ditemui selepas jadi mangsa sindiket pemerdagangan di sempadan Thailand-Myanmar
PELAKON dari China, Wang Xing, berusia 31 tahun yang dilaporkan hilang berhampiran sempadan Myanmar-Thailand pada 3 Januari selepas ke Bangkok atas urusan kerja, telah ditemui.
Pada Selasa (7 Januari), media Thailand melaporkan bahawa Wang Xing telah menyeberangi sempadan Thailand ke Myawaddy, sebuah bandar di Myanmar yang terkenal sebagai lokasi penipuan siber berskala besar.
Gambar baharu pelakon itu turut tular, menunjukkan kepalanya dicukur dan terdapat kesan lebam di dahinya. Dia ditemui pada hari yang sama oleh pihak berkuasa Thailand.
Kedutaan China di Thailand mengesahkan bahawa Wang Xing telah diselamatkan pada pukul 7 malam. Dia kini berada dalam keadaan selamat di Bangkok dan akan pulang ke China dalam masa terdekat.
Wang Xing disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan telah dipujuk ke Myawaddy dengan alasan tawaran kerja lakonan.
- Pereka fesyen dibelasah dipercayai kerana tidak bayar hutang9 January 2025
- MCMC ambil keterangan YB Sungai Burong9 January 2025
Dalam klip yang dimuat naik dalam talian, Wang Xing kelihatan ditemani seorang pegawai Thailand sambil mengucapkan terima kasih atas usaha menyelamatkan dirinya. Dia menegaskan bahawa “Thailand adalah selamat” dan berkata dia akan “pasti kembali [ke Thailand]” jika diberi peluang.
Menurut media Thailand, Wang Xing memberitahu bahawa dia telah dikurung di sebuah kilang bersama kira-kira 50 warga China yang lain dan dipaksa mencukur kepalanya.
Dia juga mendakwa telah “diminta untuk berlatih menaip” dan percaya dia dijadikan pekerja di pusat penipuan.
Pada hari ini (8 Januari), media China melaporkan bahawa dalang di sebalik penculikan Wang Xing telah ditahan.
Pihak berkuasa mendapati skim ini berkait dengan sebuah syarikat tenaga kerja yang berpengaruh bernama Apollo Glory. Syarikat ini diketuai oleh individu dari Guangdong yang dikenali sebagai “Golden Tiger”.
Perjalanan Wang Xing ke Thailand dilaporkan telah diatur oleh Apollo Glory, sebuah syarikat yang terkenal menyediakan tenaga kerja tempatan untuk membantu produksi dengan penyusunan set dan pemindahan peralatan.
Siasatan polis mendapati Apollo Glory disyaki terlibat dalam pengambilan pekerja secara haram dengan memperdaya individu untuk datang ke Thailand melalui janji pekerjaan. Golden Tiger didakwa mempunyai pengaruh besar dalam pasaran buruh Thailand.
Seorang individu yang bekerja di bawah Golden Tiger telah bercakap dengannya sebanyak tiga kali melalui telefon dan kini ditahan atas tuduhan menculik Wang Xing.
Jeneral polis Thailand, Tatchai Pitaneelaboot, menyatakan bahawa tiada penglibatan rakyat Thailand dalam kes Wang Xing, sambil menambah bahawa pelakon itu berkemungkinan menjadi mangsa penipuan yang dianjurkan oleh warganegara China.
Teman wanita Wang Xing, yang telah bersama selama lebih tiga tahun, turut dipuji kerana bersikap tenang sepanjang kejadian ini dan segera memberikan maklumat penting kepada pihak berkuasa Thailand sehingga membawa kepada penyelamatan pantas pelakon itu.
Siasatan kes Wang Xing masih diteruskan, dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, berjanji bahawa pihak berkuasa akan “mengendalikan isu ini dengan berhati-hati untuk mengurangkan kesan kepada sektor pelancongan”.