Pelaburan hari tua, pendidikan anak-anak sama penting – Raja Muda Perlis
ARAU, 19 Okt (Bernama) — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelaburan bukan sahaja penting bagi persiapan hari tua tetapi juga untuk pendidikan anak-anak.
“Pelaburan yang dimulakan sejak anak-anak masih kecil memberikan peluang mereka melanjutkan pengajian tanpa beban kewangan serta mengurangkan kadar kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan pada masa akan datang,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan merasmikan
Karnival Saham Perlis bersama Bursa
Malaysia 2024 bertemakan ‘Labur Hari Ini Untuk Masa Hadapan Yang Mampan’ di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr HajahLailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga
Canselor UniMAP bertitah kesedaran pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya rakyat di Perlis mestilah ditingkatkan agar para pelabur berasa realistik untuk menyokong agenda pelaburan rakyat.
“Para pelabur juga digalakkan untuk mula melabur pada usia yang muda. Lebih awal kita mula melabur, lebih banyak faedah yang kita peroleh,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah penganjuran Karnival Saham Perlis itu untuk memberikan kefahaman serta kesedaran tentang pelaburan dan pengurusan kewangan kepada komuniti, khususnya di kawasan utara Malaysia.
“Rata-rata dalam kalangan kita mempunyai kecenderungan untuk melabur bagi mengembangkan kekayaan, merancang persediaan persardan malah menjadikan diri kita seseorang yang bebas hutang. Cara lain termasuk menyimpan bagi matlamat jangka panjang ialah melabur dan meredakan tekanan inflasi,” titah baginda.
Karnival sehari itu ialah program pendidikan pelaburan Bursa Malaysia yang kali pertama diadakan di Perlis, anjuran bersama Bursa
Malaysia dengan UniMAP.