Nasional
Pelaburan baharu di Pantai Timur cecah RM14 bilion
Pelaburan di Pantai Timur Semenanjung mencatat peningkatan pada tahun 2023 melibatkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia berita baik ke wilayah Pantai Timur yang kurang diminati para pelabur.
“Saya ingin berkongsi prestasi pelaburan yang direalisasikan dan pelaburan baru yang telah disahkan di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
“Agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang diberi tanggungjawab merealisasikan pelaburan di Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur ataupun ECERDC,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyebut Pahang merupakan negeri paling banyak menerima pelaburan RM10.2 bilion, Terengganu sebanyak RM3.1 bilion dan Kelantan RM0.1 bilion.
“Peluang pekerjaan yang diwujudkan dari pelaburan-pelaburan ini ialah sebanyak 8,841,” katanya.
Manakala bagi tempoh yang sama iaitu Januari hingga November 2024, pelaburan baru yang telah dikemukakan kepada ECER bagi Terengganu, Kelantan dan Pahang ialah sebanyak RM8.7 bilion.
Iaitu Pahang RM5.4 bilion, Terengganu RM2.1 bilion dan Kelantan RM1.2 bilion. Peluang pekerjaan yang diwujudkan sebanyak 2,833 pekerjaan.