Ekonomi

PEKEMA dan UUM jalin kerjasama mantap untuk perkasa R&D automotif

PERSATUAN Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri automotif negara.

Sebagai tanda sokongan kepada inisiatif ini, empat replika cek telah diserahkan kepada UUM. Daripada jumlah itu, tiga replika cek adalah untuk geran kajian penyelidikan, manakala satu lagi diserahkan bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan PEKEMA yang bernilai RM32,000. Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, menyatakan bahawa sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha PEKEMA dalam menyokong R&D pendidikan tinggi di Malaysia.

“Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada ahli PEKEMA, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan akademik dan modal insan, yang merupakan asas kepada kemajuan negara. Program Biasiswa Yayasan PEKEMA adalah inisiatif jangka panjang untuk menyokong pelajar berbakat dalam bidang automotif, manakala geran kajian penyelidikan ini bertujuan menyediakan hala tuju strategik untuk membantu ahli PEKEMA mengemudi cabaran industri automotif yang semakin dinamik,” katanya semasa berucap pada Majlis Menandatangani MoU bersama UUM di sini, hari ini.

Datuk Mohamed Nazari turut menambah bahawa melalui kerjasama ini, PEKEMA dan UUM berharap dapat mengukuhkan sinergi antara dunia akademik dan industri. Usaha ini dijangka akan menyumbang kepada kemampanan dan kemajuan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor automotif yang kini sedang dipacu oleh teknologi hijau dan mesra alam.

“Gabungan kepakaran UUM dalam bidang akademik dan pengalaman PEKEMA dalam industri automotif diyakini mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, menyatakan bahawa kerjasama ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan industri.

“Penglibatan pihak industri dalam R&D berpotensi meningkatkan daya saing industri tempatan. Kerjasama ini juga akan membuka peluang kepada pertukaran pengetahuan, teknologi, dan sumber, sekali gus mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara.

“Kerjasama ini selaras dengan agenda transformasi universiti yang bertujuan memperkukuh sinergi antara akademik dan industri, memberikan manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang,” katanya.

MoU ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha kolaborasi strategik antara PEKEMA dan UUM, yang turut berperanan penting dalam merancakkan lagi pembangunan sektor automotif di Malaysia.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button