Berita Auto

PEKEMA dan UPM berganding laksana Biasiswa untuk Pelajar B40

PERSATUAN Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah menjalin kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam melaksanakan Program Biasiswa Yayasan PEKEMA. Program ini bertujuan untuk menyokong pelajar cemerlang daripada golongan berpendapatan rendah (B40) agar dapat meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Untuk tahun ini, Yayasan PEKEMA akan menaja seorang pelajar dengan biasiswa bernilai RM30,000.00 yang meliputi keseluruhan tempoh pengajian selama empat tahun di UPM. Pemilihan pelajar adalah berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang serta penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.

Majlis penyerahan sumbangan biasiswa ini telah disempurnakan oleh Presiden PEKEMA, YBhg Datuk Haji Mohamed Nazari Bin Noordin, kepada Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, sambil disaksikan oleh barisan Exco PEKEMA. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Hj Wan Sazrudeen Bin Dato’ Hj Wan Zaid; Naib Presiden, YM Raja Petra Marudin Bin Raja Nordin; Setiausaha Kehormat, Encik Ahmad Faresh Bin Ahmad Zahid; dan Biro Perhubungan Kastam & Logistik, Encik Mohd Hafiz Bin Abdul Rashid.

Kerjasama ini merupakan langkah signifikan dalam memupuk hubungan erat antara pihak universiti dan PEKEMA, dengan tujuan menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar yang memerlukan.

Menurut Presiden PEKEMA, YBhg Datuk Haji Mohamed Nazari Bin Noordin, “Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong pendidikan di Malaysia, khususnya untuk pelajar daripada golongan B40. Kami yakin bahawa pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah dan kompetitif.”

Program Biasiswa Yayasan PEKEMA dijangka berfungsi sebagai pemangkin untuk kejayaan akademik pelajar dan, pada masa yang sama, membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Melalui inisiatif ini, PEKEMA berhasrat untuk mengurangkan beban kewangan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, sambil membentuk generasi muda yang berdaya saing serta mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan. 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button