PBT Kuala Terengganu arah premis tutup operasi 2 jam setiap Jumaat
Tindakan batal lesen premis perniagaan jika gagal patuh arahan
MAJLIS Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan menutup operasi selama dua jam pada setiap Jumaat.
Datuk Bandar Kuala Terengganu Rosli Latif berkata arahan penutupan operasi itu bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang telah dikeluarkan sejak awal bulan ini.
“Jika kita dapati pemilik semua premis perniagaan gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan berdasarkan undang-undang yang diguna pakai,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, arahan tersebut turut melibatkan pasar raya, restoran, dan kedai makan.
“Pemilik pasar raya dan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan diminta memberi kerjasama memastikan aktiviti tidak beroperasi dalam tempoh itu,” katanya.
Menurut laporan itu, arahan serupa mengenai penutupan premis perniagaan pada waktu solat Jumaat pernah dibuat, pada 2014. – SM