Parti Syed Saddiq pecahkan undi Melayu – Dr. M
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa parti yang akan ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya akan memecahkan lagi undi orang Melayu.
Menurut Dr. Mahathir, dia telah menyatakan pandangannya itu kepada bekas Ketua Armada Bersatu dibawah kepimpinannnya dulu.
“Saya kata dengan dia, kalau kita ada banyak parti, kita lawan sama kita, nanti kita kalah. Orang lain nanti menang, jangan pecahkan undi Melayu, itu saja.
“Kalau awak ambil orang muda, orang tua tinggal sini (Pejuang) siapa nak sokong parti baru ini? Habis lah jadinya bila banyak parti,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Dr. Mahathir berkata, beliau masih berhubung baik dengan bekas menteri belia dan sukan itu.
Pengasas parti Pejuang Tanah Air itu melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan undi itu kerana menurutnya orang Melayu tidak pandai berpolitik.
“Orang Melayu tak bijak dalam politik. Dia pegang kuat pada parti, lepas tu kalau dia tak dapat, dia buat satu parti (baru).
“Dia pecah undi Melayu, bila kita pecah undi Melayu, bukan Melayu menjadi penentu siapa yang akan menang,” katanya lagi.
Sebelum ini Dr. Mahathir berkata, parti baharu yang akan ditubuhkan oleh Syed Saddiq tidak akan berjaya.
Syed Saddiq yang juga ahli parlimen Muar memberi bayangan akan menubuhkan parti baru berasaskan cita rasa anak muda bagi membawa pembaharuan kepada politik tanah air.
Mengenai penubuhan pejuang yang berteraskan Melayu, Dr. Mahathir berkata penubuhan parti itu perlu kerana orang Melayu masih mempunyai banyak masalah.
Orang Melayu, menurut Dr. Mahathir masih memerlukan perhatian khusus dan memerlukan Pejuang untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi.
“Orang Melayu ada banyak masalah. Perlu menangani masalah dihadapi orang Melayu, kalau kita buat satu penyelesaian itu manfaatnya untuk semua kaum, Melayu tak dapat manfaat itu.
“Melayu kena ada ‘special treatment’ (layanan khas). Saya dah lama dah, 70 tahun, 80 tahun saya bekerja untuk membantu orang Melayu,” jelasnya.-SM